Anda di sini

Miri ke suku akhir LBR 2017-2018

Advertisement
Miri FA menyertai Tawau ke pusingan suku akhir LBR 2017-2018.
Miri FA menyertai Tawau ke pusingan suku akhir LBR 2017-2018.

KUCHING: Miri FA mengesahkan slot ke peringkat suku akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017-2018 Peringkat Kebangsaan selepas berjaya menjinakkan Keningau, 3-1 pada perlawanan berlangsung di Kompleks Sukan Keningau, Sabah hari ini.

Turun dengan misi mesti menang, skuad dari bandar minyak itu tidak menunggu lama untuk membimbing perlawanan apabila penyerang prolifik, Mohd Hadera Bakeri meledak gol pertama pada minit ketiga.

Tuan rumah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-39.

Sebelum rehat, Mohd Nur Arshad Tamit kembali meletakkan Miri di depan dengan menjaringkan gol cantik pada minit ke-45.

Miri di bawah kendalian Mohd Hakimi Man terus bernafsu memburu gol tambahan bersambung babak kedua dalam usaha melengkapkan kemenangan mutlak untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah singkir.

Minit ke-50, Hadera sekali lagi menjadi duri dalam daging Keningau dengan menjaringkan gol ketiga.

Dalam satu lagi perlawanan berlangsung di Stadium Sarawak semalam, Kuching Gedong-Gators berjaya mengatasi Tawau juga dengan jaringan 3-1.

Begitupun, kemenangan anak didik Helearn Wilfred tidak membawa sebarang erti kerana Miri telah mengesahkan slot selepas mengutip 10 mata berbanding Kuching Gedong-Gators dengan hanya 9 mata.

Miri dijadual menentang wakil Kelantan, Rantau Panjang dalam aksi suku akhir pertama pada 24 Mac ini di Padang KRP, Lutong, Miri bermula jam 4.15 petang.

Manakala Tawau FA menjadi tetamu Ipoh FA dalam satu lagi aksi suku akhir di Stadium Ipoh, Perak juga pada hari yang sama.

  • oleh
  • Advertisement