Anda di sini

Zy mengatasi kekurangan diri, menguasai renang

Advertisement

Dilahir dengan tangan kiri sempurna, separuh tangan kanan, tiada kaki kanan, kaki kiri cacat dengan hanya tiga jari

 Zy melakukan latihan renang di Kelab Sukan Pulau Pinang. — Gambar Bernama
BERTENAGA: Zy melakukan latihan renang di Kelab Sukan Pulau Pinang. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Jika 12 tahun dahulu kelahirannya disambut dengan perasaan terkejut dan kegusaran oleh ibu bapanya berikutan kekurangan fizikal diialaminya, kini kanak-kanak istimewa itu membanggakan keluarganya kerana mampu menguasai kolam renang.

Zy Kher Lee, 12, dilahirkan dengan tangan kiri yang sempurna, separuh tangan kanan, tidak mempunyai kaki kanan dan kaki kiri yang cacat dengan hanya tiga jari kaki.

Dia yang pada mulanya takut dengan air, tidak menyangka aktiviti itu berjaya membuatkannya jatuh cinta pada sukan renang sekali gus bercita-cita menjadi atlet paralimpik untuk mewakili negara pada  Sukan Paralimpik 2020.

Berenang menjadikan saya rasa diri saya normal. Saya suka berenang. Pada mulanya saya takut dengan air, walaupun agak sukar pada awalnya tetapi tidak lama kemudian saya mula belajar berenang dengan bapa saya dan jurulatih, saya jatuh cinta pada sukan ini, katanya kepada BERNAMA di sini.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Perempuan Cina di Jalan Gottlieb, di sini itu mula belajar berenang pada usia tujuh tahun dan dia melakukan aktiviti itu dua kali seminggu di Kelab Sukan Pulau Pinang, di sini.

Ditanya bagaimana dia berhadapan dengan rakan-rakan di sekolah, Zy berkata, dia tidak pernah berasa malu dengan kekurangan yang dialaminya sebaliknya menganggap dirinya seperti manusia normal sama seperti kanak-kanak yang lain.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, guru-gurunya juga melayannya seperti murid normal kerana di sekolah dia bergerak dengan menggunakan satu lengan prostetik dan dua kaki prostetik.

Zy berkata, dia bercita-cita menjadi seorang ahli silap mata kerana suka membuat orang kagum dengan kebolehannya.

Sementara itu, jurulatih Zy, Adrian Chan, 61, berkata walaupun mempunyai kekurangan fizikal, Zy berjaya menguasai empat disiplin acara renang termasuk kuak lentang dan kuak kupu-kupu.

Beliau berkata, anak didiknya itu mempunyai potensi untuk menjadi atlet Paralimpik pada masa depan kerana keazamannya yang tinggi untuk menyertai Sukan Paralimpik 2020.

Saya turut banyak belajar daripada dirinya. Kami seronok menjalani sesi berenang. Dia bersedia untuk berubah dan dia berazam melakukannya,” katanya sambil menambah Zy berjaya merangkul satu pingat emas, dua pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Renang Para Sirkit di Alor Setar, Kedah tahun lepas.

Chan berkata, buat masa ini beliau akan memberi peluang kepada Zy untuk menyertai lebih banyak pertandingan renang bagi meningkatkan keyakinan Zy sebagai persediaan menyertai sukan paralimpik pada masa depan.

Sementara itu, bapa Zy Walter Lee berkata, walaupun anaknya mempunyai kekurangan, beliau tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk tidak mendedahkan anaknya pada dunia luar.

Beliau berkata, adalah tidak adil sebagai ibu bapa tidak memberikan kebebasan dan peluang kepada anak-anak terutama anak istimewa untuk meneroka dunia ini sama seperti kanak-kanak normal yang lain.

Saya tidak sanggup untuk melihat anak saya , Zy, hanya mendongak dari kerusi rodanya setiap kali dia bercakap dengan orang lain untuk seumur hidupnya. Anak kami perlu diberikan maruah yang sama dengan orang normal. Dia mesti mampu berdiri sama tinggi dan bercakap dengan orang pada paras mata seperti orang normal,” katanya.

Lee yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dan cef selebriti di Bangkok, Thailand berkata, beliau menamakan anak ketiganya itu Zy yang bermaksud ‘kemenangan’ dalam bahasa Thailand atau ‘Jai’ dalam bahasa Hindi dengan  harapan anak  istimewanya itu akan membawa tuah dan kemenangan dalam setiap krisis yang mendatang. — Bernama

 Zy mendengar sesuatu yang dikatakan oleh bapanya, Walter sebelum membuat latihan renang di Kelab Sukan Pulau Pinang di Jalan Utama dekat George Town, semalam. — Gambar Bernama
BERI SEMANGAT: Zy mendengar sesuatu yang dikatakan oleh bapanya, Walter sebelum membuat latihan renang di Kelab Sukan Pulau Pinang di Jalan Utama dekat George Town, semalam. — Gambar Bernama
Advertisement