Anda di sini

Beri masa enam bulan

Advertisement
 Abang Johari bersalaman dengan Poh (kanan) selepas sidang media sambil disaksikan Manyin (tiga kiri) dan Dr Sim (kiri), semalam.
PERSEFAHAMAN: Abang Johari bersalaman dengan Poh (kanan) selepas sidang media sambil disaksikan Manyin (tiga kiri) dan Dr Sim (kiri), semalam.

  Undang-undang syariah Sarawak akan dipinda: KM

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi tempoh enam bulan untuk beliau menyelesaikan perkara berkaitan pindaan undang-undang syariah Sarawak.

Mengakui undang-undang syariah Sarawak masih ada kelemahan, beliau berkata seharusnya terdapat Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memantapkan lagi undang-undang berkenaan.

Kita akan meneliti perkara ini dan kita tidak harus membiarkan mereka yang berkaitan tergantung begitu sahaja di mana perlu ada SOP yang harus mereka ikuti.

Beri saya masa enam bulan untuk saya selesaikan perkara ini dan perbincangan kini hampir selesai kerana kita ada pendekatan undang-undang untuk digunakan bagi memudahkannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan bangunan baharu St Josephs International School yang dihadiri Uskup Agung Gereja Roman Katolik Simoh Poh di sini, semalam.

Selasa lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan kes empat individu yang murtad perlu didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Syariah menggunakan peruntukan di bawah Ordinan Majlis Agama Islam Sarawak 2001, dan bukan Mahkamah Sivil.

Lima panel hakim berkata, tiada merit dalam empat kes berasingan membabitkan Mohd Syafiq Abdullah, Nur Muzdhalifah Abdullah, Salina Abdullah dan Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen. 

Panel hakim, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hassan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan, menyatakan peruntukan di bawah ordinan itu boleh diguna pakai Mahkamah Syariah dalam menentukan keputusan berhubung permohonan tersebut.

Tambah Abang Johari, apa yang berlaku di mahkamah itu hanyalah penentuan mahkamah mana yang mempunyai bidang kuasa dalam menyelesaikan status empat individu berkenaan.

Masalah mereka ialah tiada bidang kuasa untuk menentukan status dan mengiktiraf mereka keluar dari agama Islam dan mereka menghadapi masalah dari segi kad pengenalan.

Perlu ada keputusan dari mahkamah bahawa mereka bukan lagi Muslim dan diterima oleh Pendaftaran Negara,” katanya sambil memberitahu ia bukan satu isu yang harus diperbesarkan.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata setiap masalah harus diselesaikan bagi mengelak berlaku hilang kepercayaan.

Kita akan meminda undang-undang syariah. Ini kerana jika ada masalah perlu ada penyelesaiannya. Bagi kes ini khasnya saya akan selesaikan atas kapasiti saya sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Sementara itu, Poh dalam kenyataannya berkata, beliau gembira dengan pengumuman Ketua Menteri itu demi kebaikan kepada semua pihak.

Apa yang penting ialah bagi membolehkan kita terus hidup aman dan harmoni di Sarawak selain memastikan kebebasan beragama, mengukuhkan sikap saling menghormati antara pelbagai agama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar yang menjaga hal ehwal Islam dalam kerajaan negeri, Dr Abdul Rahman Junaidi menyatakan sokongan terhadap saranan Ketua Menteri itu.

Saya menyokong saranan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri bagi menyelesaikan kemelut dan permasalahan sedia ada,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement