Anda di sini

Angkat mutu permainan catur

Advertisement

Pertandingan Catur Antarabangsa bakal menjadi temasya tahunan DUN Sarawak

 Mohd Asfia (duduk kanan) menggerakkan buah catur sambil disaksikan Chong (duduk kiri) semasa gimik perasmian Pertandingan Catur Antarabangsa 2018 turut disaksikan (dari kanan) Dr Rauf, Datuk Sebastian Ting, Len dan Violet Yong.
BERSAING: Mohd Asfia (duduk kanan) menggerakkan buah catur sambil disaksikan Chong (duduk kiri) semasa gimik perasmian Pertandingan Catur Antarabangsa 2018 turut disaksikan (dari kanan) Dr Rauf, Datuk Sebastian Ting, Len dan Violet Yong.

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Persatuan Catur Negeri Sarawak akan menjadikan Pertandingan Catur Antarabangsa sebagai temasya tahunan di Sarawak.

 Perkara itu diberitahu oleh Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar semasa merasmikan Pertandingan Catur Antarabangsa 2018 di Atrium, Tingkat 2, DUN di sini semalam.

 Beliau yang juga penasihat pertandingan itu turut melahirkan rasa gembira dengan penyertaan menggalakkan terhadap pertandingan julung kali diadakan itu.

 “Ini kali pertama kita menganjurkan pertandingan catur berskala besar dengan melibatkan penyertaan peserta dari luar negara.

 “Kita cuba untuk mempromosikan sukan ini dengan lebih giat di Sarawak. Justeru, kita mahu pertandingan diadakan setiap tahun di DUN Sarawak.

 “Pada masa sama, kita juga bercadang meletakkan pertandingan ini dalam kalendar aktiviti tahunan negeri,” katanya semasa berucap pada perasmian pertandingan catur antarabangsa di sini semalam.

 Menurutnya, penganjuran pertandingan itu juga membuka peluang kepada orang ramai melawat bangunan DUN sekali gus membantu merapatkan hubungan kalangan orang ramai dan wakil rakyat.

 Katanya, selain berperanan mengangkat mutu permainan catur di negeri ini juga sedikit sebanyak melonjakkan industri pelancongan Sarawak.

 “Catur merupakan permainan intelektual di mana semua peserta bertanding adalah seimbang justeru menjadikan permainan ini amat mencabar,” jelasnya.

 Pertandingan Catur Antarabangsa 2018 dianjurkan oleh DUN Sarawak dan Persatuan Catur Negeri Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-150 DUN Sarawak.

 Lebih 200 peserta dari Sarawak, Sabah, Terengganu, Melaka, Selangor, Labuan, Johor termasuk dari negara Nigeria, Filipina, Indonesia dan Sri Lanka menyertai pertandingan sehari itu.

 Ia dibahagikan kepada empat kategori iaitu VVIP, Ketua Jabatan, Terbuka (Veteran, bawah 15 & 17 Tahun) dan Bawah 12, 10 dan 8 Tahun Lelaki/Wanita.

 Selain Mohd Asfia sendiri, peserta VVIP turut mengambil bahagian ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai merangkap pengerusi penganjur Datu Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen dan bekas ADUN Demak Laut, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen.

 Hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan RM40,000 dan piala menanti pemenang.

  • oleh
  • Advertisement