Anda di sini

Sembilan tahfiz bakal dapat pendidikan kemahiran

Advertisement
 Arifin menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar.
TERUSKAN USAHA: Arifin menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar.

MEMBAKUT: Sembilan sekolah tahfiz di negeri ini bakal mendapat pendidikan kemahiran daripada GIATMARA.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Arifin Arif berkata, ia bertujuan memperkasakan golongan pelajar tahfiz selain daripada pembelajaran agama.

Beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak GIATMARA mengenai perkara itu dan telah mendapat persetujuan untuk melaksanakannya dalam masa terdekat.

Saya sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekitif GIATMARA dan pihak mereka telah memberikan persetujuan untuk melaksanakan inisiatif ini.

Kita mahu anak-anak (pelajar tahfiz) kita, selain belajar ilmu agama dan akademik, mereka juga mampu berdikari dengan kemahiran teknikal selepas tamat pembelajaran, sekali gus memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

Salah satu sekolah yang dicadangkan ialah Institut Tahfiz Negeri Sabah yang ada diploma serta Tahfiz Darul Yatama di Membakut dan beberapa sekolah tahfiz sesuai lainnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Tokoh Nilam Zon Selatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Saga-Saga, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Ariffin yang juga ADUN berkata usaha menaik taraf prasarana di sekolah tahfiz terus diperkasa apabila 32 sekolah di Sabah menerima bantuan pendawaian tahun ini.

Jelas beliau, sebanyak RM400,000 diperuntukkan kerajaan pusat bagi tujuan itu iaitu sebahagian daripada RM50 juta yang disalurkan untuk sekolah sama di seluruh negara.

Saya juga berharap kerajaan dapat membina sebuah sekolah khas untuk pelajar tahfiz yang tercicir dalam akademik sebagaimana yang akan dibina di Perak tidak lama lagi.

Usaha dipersetujui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini, dilihat dapat membantu pelajar terbabit mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika mempengerusikan satu mesyuarat jawatan kuasa peringkat tertinggi berkaitan sekolah tahfiz bersetuju membina sebuah sekolah khas berkenaan di Bagan Datoh, Perak.

Advertisement