Anda di sini

Perjuangan Rosli Dhoby dan rakan-rakan dalam kenangan

Advertisement
SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Menengah Agama Sibu hari ini menziarahi kubur Rosli Dhoby dan tiga lagi rakannya yang dihukum mati. Kubur tersebut terletak di pekarangan Masjid An-Nur Sibu.
SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Menengah Agama Sibu hari ini menziarahi kubur Rosli Dhoby dan tiga lagi rakannya yang dihukum mati. Kubur tersebut terletak di pekarangan Masjid An-Nur Sibu.

KUCHING: Bagi mengenang perjuangan dan pengorbanan Melayu Sarawak dalam menentang kolonialisme untuk mencapai kemerdekaan, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) akan meneruskan program mengajak orang ramai terutama generasi muda menyedari kewujudan golongan ini.

Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr Sanib Said berkata pihaknya ingin memperingatkan warga Sarawak tentang peranan orang Melayu seperti Allahyarham Rosli Dhoby dan rakan-rakannya dalam menuntut kemerdekaan supaya tidak dilupakan seperti juga sumbangan pejuang lain.

“Tarikh 2 Mac adalah tarikh Allahyarham Rosli Dhoby menemui Allah SWT pada tahun 1950, 68 tahun yang lalu.

“Kami mengadakan setiap tahun, sejak lima tahun lepas. Tahun lepas agak besar dengan membabitkan 200 pelajar. Ada juga liputan sedikit dari media,” katanya kepada Utusan Borneo.

Sanib berkata mereka memberi tumpuan kepada generasi muda sebab apa yang mereka pelajari di sekolah terlalu dangkal dan maklumat yang didedahkan terlalu sedikit. 

“Orang muda Sarawak perlu didedahkan dengan lebih banyak maklumat. Kajian-kajian terbaharu pun telah menemukan fakta-fakta yang harus diketengahkan,” tambah Sanib. 

Sanib juga kesal kerana ada suara-suara sumbang yang menyuarakan bahawa perjuangan Rosli Dhoby dan Rukun 13 ini adalah untuk membawa kembali Rejim Brooke. 

“Kajian baru khususnya melalui sumber utama seperti surat-menyurat tulisan jawi antara pejuang-pejuang Sibu dan pejuang-pejuang Kuching kita dapati mereka hanya memperalatkan Brooke untuk akhirnya mendapatkan kemerdekaan.

“Antara sebabnya lebih mudah untuk mengusir Brooke daripada mengusir British. Banyak dokumen-dokumen baru yang dirampas oleh British dan dibawa ke London dan disimpan di London. Sejarawan Melayu Sarawak telah menemukan dokumen-dokumen penting ini.

“Kajian bahan-bahan oleh Dr Suffian Mansor, sejarawan Sarawak di Universiti Kebangsaan Malaysia telah menemukan banyak surat-surat yang dirampas dalam tulisan Jawi antara pejuang-pejuang kita. Surat-surat yang asli,” kata Sanib.

Sanib berharap lebih banyak maklumat tentang mentor kepada Rosli Dhoby di kalangan pemimpin persatuan Pergerakan Pemuda Melayu Sibu seperti Awang Ramli Amit, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong juga diketengahkan.

Menurut Sanib, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) yang dipimpin Datuk Patinggi Abang Abdillah mengetuai gerakan anti serahan menentang tindakan Vyner Brooke menyerahkan Sarawak menjadi koloni British.

“PKMS mendapat sokongan serta bantuan dari persatuan-persatuan Melayu Bahagian lain seperti Sibu, Sri Aman, Miri dan Limbang – ketika itu sudah menubuhkan persatuan-persatuan Melayu, yang masih wujud sehingga sekarang dan mereka telah mengadakan demonstrasi besar-besaran,” kata Sanib. 

Sanib berkata pertubuhan bukan kerajaan Melayu Sarawak ini sangat berani dan mereka mengadakan demonstrasi setiap bulan daripada 1946 sehingga 1949. 

“Kemudian ada juga persatuan Melayu seperti ASAS – Angkatan Semangat Anak Sarawak – yang berada di Singapura, banyak persatuan –persatuan peringkat kampung di Kuching seperti di Muhibbah Bintangor yang turut mengambil bahagian. Wanita pun ikut sama,” tambah Sanib.

Kemudian muncul pula kumpulan pemuda seperti  Barisan Pemuda Sarawak turut berjuang menggembeleng tenaga bersama kumpulan ini menuntut kemerdekaan Sarawak. Menuntut janji Brooke sendiri yang berjanji beliau akan memulangkan Sarawak kepada orang Bumiputera, khususnya Melayu Sarawak.

“Kita yang sudah merdeka ini harus mempertahankan kemerdekaan, kerana ramai orang yang berkorban segala-galanya termasuk jiwa dan raga untuk mendapatkan kemerdekaan, justeru kita harus mempertahankan kemerdekaan ini dan menghargainya,” ujar beliau. 

Katanya generasi terdahulu Melayu Sarawak sangat berani menempuh segala ancaman termasuk polis British semata-mata mahu menuntut kemerdekaan.

Kemuncak kepada penentangan orang Melayu Sarawak berlaku pada 3 Disember 1949 apabila seorang anak muda, Rosli Dhoby membunuh Gabenor British Sir Duncan Steawart.

Rosli dihukum gantung sampai mati pada jam 6.30 pagi di penjara Kuching pada 2 Mac 1950.

  • oleh
  • Advertisement