Anda di sini

TDM jadi GLC di Terengganu pertama perkenal biogas

Advertisement
 Ahmad (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama oleh Mohamat (depan, kanan) dan Khairuddin (depan, kiri) pada Majlis Menandatangani Penerimaan Tawaran Projek Usahasama Penghasilan Biogas dan Penjanaan Kuasa Elektrik melalui kerjasama ‘Build Own Operate Transfer (BOOT)’ pada Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Stadium Sultan Mizan kelmarin. — Gambar Bernama
KERJASAMA: Ahmad (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama oleh Mohamat (depan, kanan) dan Khairuddin (depan, kiri) pada Majlis Menandatangani Penerimaan Tawaran Projek Usahasama Penghasilan Biogas dan Penjanaan Kuasa Elektrik melalui kerjasama ‘Build Own Operate Transfer (BOOT)’ pada Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Stadium Sultan Mizan kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA NERUS: TDM Berhad muncul sebagai anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama di Terengganu dan antara perintis pertama di Malaysia yang menghasilkan biogas melalui sisa kelapa sawit untuk menjana tenaga elektrik mulai tahun depan.

 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Datuk Mohamat Muda berkata, di bawah projek itu, penukaran sisa buangan akan menjadi sumber pendapatan di mana tenaga elektrik yang terhasil akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kuota ‘Feed-in-Tariff’ (FIT) yang akan dipohon daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).

 “Projek ini adalah untuk dua kilang kelapa sawit TDM Plantation Sdn Bhd di Terengganu iaitu di Kemaman dan Sungai Tong di Setiu melibatkan perbelanjaan RM38 juta.

 “Bagaimanapun, TDM telah menggunakan konsep BOOT (bina, kendali, miliki, pindah) di mana semua kos pembinaan ditanggung pemaju dan keuntungan akan diagihkan kepada TDM setiap tahun mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.

 “Konsesi ini akan beroperasi selama 16 tahun dan selepas itu keseluruhan aset tersebut akan diserahkan kepada TDM secara percuma,” katanya.

 Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani penerimaan tawaran projek usaha sama penghasilan biogas dan penjanaan kuasa elektrik melalui perjanjian kerjasama BOOT di antara Kumpulan TDM Berhad dan syarikat Concord Alliance Sdn Bhd di tapak Ekspo Terengganu 2018, di sini kelmarin.

 Perjanjian itu ditandatangani Mohamat mewakili TDM Berhad manakala Concord Alliance diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Khairuddin Mohd Hussin dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

 Turut hadir Pengerusi TDM Berhad Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Eksekutif Concord Alliance Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Hussin Abd Hamid.

 Mohamat berkata, TDM turut merangka satu pelan peniagaan jangka panjang yang mantap dalam usaha menjadi salah satu pemain atau institusi utama dalam sektor perladangan di masa hadapan.

 “Sebagai pemegang sijil Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang komited, TDM telah meluluskan pembinaan biogas ini.

 “Di samping menjaga alam sekitar, ia juga mampu menjana kewangan untuk syarikat bagi setiap jumlah tenaga elektrik yang disalurkan ke grid TNB.

 “Loji biogas itu mengutamakan teknologi hijau dan membantu mengukuhkan lagi sistem rawatan olahan kilang kelapa sawit yang sedia ada supaya tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya.

 Sementara itu, Wan Nawawi berkata, kedua-dua kilang kelapa sawit di Kemaman dan Sungai Tong itu mampu memproses kelapa sawit lebih 600,000 tan metrik setahun.

 “Daripada jumlah ini sebanyak 390,000 tan metrik sisa buangan akan terhasil dan ini cukup untuk membekalkan gas metana bagi penghasilan biogas tersebut untuk penjanaan tenaga elektrik lebih daripada empat megawat sejam”, katanya. — Bernama

Advertisement