Anda di sini

Malaysia tidak boleh abai China sebagai kuasa ekonomi dunia

Advertisement

PADANG BESAR: Malaysia tidak boleh mengabaikan China sebagai kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia untuk melabur di negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong.

 Katanya, eksport Malaysia ke China hanya 13.5 peratus manakala ASEAN menduduki tempat pertama dengan 30 peratus daripada jumlah eksport bernilai RM935 bilion.

 Amerika Syarikat menduduki tempat ketiga dengan 9.5 peratus manakala Jepun lapan peratus.

 “Ini menunjukkan kita tidak bergantung kepada satu pasaran atau negara, yang bermakna Malaysia dapat mengurangkan risiko kebergantungan pada satu negara sahaja,” kata Chua.

 Beliau ditemui pemberita selepas bertemu anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, di sini, kelmarin.

 Turut hadir ADUN Titi Tinggi Khaw Hock Kong yang juga Timbalan Pengerusi MCA Perlis.

 Chua berkata, pembangkang menjadikan pelaburan China sebagai bahan politik, kononnya kita menjual negara.

 “Jika kita tidak mendapat pelaburan mereka, pembangkang akan kata pula China tidak yakin dengan ekonomi Malaysia. Perkara ini menjadi retorik bagi mereka (pembangkang).

 “Kalau betul-betul risau dengan China, mengapa kerajaan Pulau Pinang dan Selangor mengadakan misi pelaburan ke negara itu,” katanya dan menambah, suka atau tidak China akan mempunyai lebih 500 juta penduduk yang mempunyai pendapatan pertengahan dalam masa 20 hingga 30 tahun lagi.

 Chua berkata, tahun ini dijangka lebih mencabar bagi Malaysia mencatatkan prestasi lebih baik dari pertumbuhan dua angka direkodkan tahun lepas.

 Katanya, dalam Bajet 2018, kerajaan merangka langkah baharu bagi meningkatkan eksport untuk mengimbangi perdagangan supaya menjadi positif dan membantu mengukuhkan nilai mata wang Malaysia.

 Mengenai pertemuan itu, Chua berkata, beliau menerangkan kepada pemimpin akar umbi mengenai usaha kerajaan meningkatkan ekonomi negara, dasar dan juga bantuan disediakan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan mereka. — Bernama

Advertisement