Anda di sini

Kenyataan Ab Aziz Kaprawi berunsur politik: Peguam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bahawa kenyataan media oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi yang disiarkan dalam Sinar Online tahun lepas, adalah berunsur komen politik dan tidak berniat untuk mengganggu perbicaraan kes di mahkamah.

Peguam Datuk K. Kirubakaran, yang mewakili Ab Aziz dalam hujahannya berkata ia adalah senario biasa dalam politik apabila seorang ahli politik dikritik oleh pihak lain.

Dalam kes ini, Ab Aziz hanya memberi komen politik dan kritikan membabitkan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” hujahnya dalam permohonan Mukhriz untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ab Aziz.

Kirubakaran berkata anak guamnya juga tidak menyatakan secara spesifik dalam kenyataannya bahawa ia merujuk kepada perbicaraan kes membabitkan Mukhriz dan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad.

Kenyataan yang dikeluarkan berdasarkan isu ‘general’ (umum) dan tidak sesekali menyentuh mengenai perbicaraan yang sedang berlangsung,” jelasnya yang turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak berniat untuk mengganggu prosiding perbicaraan kes berkenaan.

Peguam itu turut berhujah bahawa Ab Aziz tidak pernah campur tangan atau mengganggu mahkamah dalam membuat keputusan.

Mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan keterangan saksi di mahkamah dan bukan melihat komen yang dipaparkan di blog dan tidak mempengaruhi persepsi orang ramai untuk membuat keputusan,” hujahnya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mukhriz pula berhujah kenyataan yang dikeluarkan Ab Aziz mencampuri urusan mahkamah dan mengganggu prosiding perbicaraan.

Kenyataan itu memprejudiskan kes yang sedang berjalan dan diniatkan serta dihasratkan oleh responden (Ab Aziz) untuk menyeleweng fahaman dan fikiran orang ramai,” katanya yang turut memaklumkan kenyataan itu sememangnya merujuk kepada perbicaraan membabitkan anak guamnya dan Tengku Sarifuddin. — Bernama

Advertisement