Anda di sini

Pejuang sekutu IS lancar perang baharu di selatan Filipina

Advertisement

MANILA: Beberapa bulan selepas diusir dari bandar Marawi di selatan Filipina, pejuang jihad melancarkan usaha baharu dan maut untuk menubuhkan sebuah kerajaan Asia Tenggara di wilayah yang sama, menurut amaran pihak tentera semalam.

Penyerang bersenjata menghimpunkan pasukan seramai kira-kira 200 pejuang dan terlibat dalam satu siri pertempuran dengan pasukan keselamatan pada tahun ini selepas pasukan tentera kerajaan merampas semula Marawi pada Oktober lepas, Kolonel Romeo Brawner memberitahu AFP.

“Mereka tidak mengetepi-kan objektif mereka untuk membentuk sebuah kerajaan di Asia Tenggara,” menurut Brawner, komander pasukan petugas tentera yang berpusat di Marawi.

“Mindanao merupakan kawasan yang paling subur,” kata beliau, merujuk kepada wilayah selatan di negara ini.

Berdepan dengan kemiskinan yang meluas dan pemberontakan Islam bersenjata yang ingin mendapatkan kemerdekaan atau peme-rintahan sendiri, Mindanao harus memperbaiki pengawasan sekolah-sekolah Islam atau madrasah yang kurang baik di mana kebanyakan penyerang muda direkrut, tambah beliau.

Beliau berkata pasukan tentera sudah bersedia berdepan dengan cabaran daripada kumpulan Maute, yang pernah menakluki Marawi selama lima bulan dan mengikrarkan kesetiaan kepada kumpulan Negara Islam (IS) yang berpusat di Timur Tengah.

Penyerang bersenjata yang melepaskan diri semasa hari-hari awal operasi dibantu oleh Amerika Syarikat (AS) bagi menawan semula Marawi kini mengetuai usaha pengambilan rekrut, ditambah lagi dengan wang tunai, senjata dan barangan kemas yang dirompak dari bank-bank dan rumah persendirian di bandar tersebut, menurut Brawner.

Rekrut adalah kebanyakannya penduduk tempatan, namun satu jumlah yang tidak dinyatakan adalah rakyat Indonesia, sebahagian memiliki kemahiran membuat bom, tiba di sana baru-baru ini, tambah beliau.

Pegawai tentera Mindanao berkata penyerang Maute membunuh tiga peniaga di pekan Piagapo, berhampiran Marawi, pada November tahun lepas.

Tiga pejuang jihad terkorban di Pantar, sebuah pekan berhampiran, pada 8 Februari, sementara tiga pedagang Piagapo disyaki pembunuh ditangkap di pekan itu pada bulan lepas.

Pihak tentera turut melaporkan pertempuran dengan penyerang Maute di pekan Masiu dan Pagayawan berhampiran Marawi bulan lepas.

Pertempuran baharu mun-cul selepas Presiden Rodrigo Duterte dan pemimpin politik lain di wilayah Mindanao memberi amaran mengenai satu pengulangan yang berpotensi bagi rampasan Marawi yang meragut lebih 1,100 nyawa.

Ebrahim Murad, ketua Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang menanda-tangani perjanjian damai dengan Manila pada 2014, turut memberi amaran pada Selasa lepas bahawa pejuang jihad mengambil rekrut baharu dan akan merampas bandar Filipina yang lain. — AFP

Advertisement