Anda di sini

Lelaki tetap nafi miliki, salah guna dadah

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 22 Mac depan untuk perbicaraan kes seorang lelaki yang dituduh memiliki dan menyalahgunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Sementara itu, tertuduh dibenarkan bebas dengan jaminan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah mendengar permohonan pihak pendakwaan bagi penetapan tarikh baharu untuk perbicaraan lanjut memandangkan tertuduh masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap dua tuduhan yang dihadapinya.

Francis Lawai Jau, 33, dari Taman Bumiko di sini didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1962 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 0.03 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.30 pagi 17 Oktober, 2016 di sebuah rumah di Lorong 8 Krokop.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234).

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau dua tahun penjara dan serta merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 19852.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.55 pagi 17 Oktober, 2016 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Advertisement