Anda di sini

Dua pemain bola sepak Sarawak, ‘bookie’ dibebas dengan jaminan SPRM

Advertisement
Ketiga-tiga mereka diiringi keluar dari Mahkamah Majistret hari ini selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM.

KUCHING: Dua pemain bola sepak Sarawak dan seorang lagi dikatakan 'bookie' yang direman kerana dipercayai terlibat mengatur perlawanan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Ketika membuat permohonan untuk membebaskan mereka dari perintah reman, Pegawai Penyiasat SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi memberitahu Majistret Sandy Yvette Freddy, belum ada bukti mencukupi untuk mendakwa mereka.

Bagaimanapun, jumlah jaminan belum diputuskan lagi, kata Dzulkarnain.

Mereka sebelum ini direman enam hari bermula 15 Februari lalu bagi membantu siasatan di bawah kesalahan menerima atau meminta suapan mengikut Seksyen 16 (a) SPRM 2009.

Terdahulu mereka ditahan SPRM kerana dipercayai terlibat mengatur perlawanan Liga Perdana di antara Sarawak menentang Felcra FC pada 10 Februari lalu.

Ketiga-tiga suspek diwakili peguam, Ahmad Dzulfadli Abang Hamdan, Saifunnizam Sam dan Irawan Sudarsono.

Perkarangan mahkamah riuh dengan sorakan lebih 100 penyokong bola sepak dan ahli keluarga tertuduh sebaik mengetahui kesemua mereka dibebas dari tuduhan.
 

Advertisement