Anda di sini

23 peratus taman permainan biak nyamuk aedes

Advertisement

PUTRAJAYA: Sebanyak 175 taman permainan dan rekreasi di seluruh negara didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata jumlah itu adalah 23 peratus daripada keseluruhan 763 taman permainan dan rekreasi yang diperiksa pada awal tahun ini.

Justeru, Dr Subramaniam menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan apabila beriadah di taman permainan bagi mengurangkan risiko digigit nyamuk aedes.

Jika beriadah terutamanya pada awal pagi dan lewat petang ketika nyamuk aktif menggigit manusia, pakai seluar dan baju lengan panjang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Petugas Khas Denggi peringkat kementerian, di sini semalam.

Selain taman permainan, katanya kawasan tanah kosong turut mencatatkan peratusan pembiakan nyamuk aedes yang tinggi iaitu 21 peratus atau 4,110 kawasan daripada 19,028 kawasan yang diperiksa.

Dr Subramaniam berkata bagi projek rumah terbengkalai pula, 17 peratus daripada 152 yang diperiksa didapati positif aedes, kilang dan gudang (11 peratus), dan tanah perkuburan (10 peratus).

Justeru, katanya Kementerian Kesihatan bersama semua agensi berkaitan akan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan terbabit dalam usaha membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Bagi rumah kediaman pula, katanya hasil pemeriksaan menunjukkan 11,716 rumah atau 2.7 peratus daripada keseluruhan 437,706 rumah yang diperiksa didapati positif aedes.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian sedang memantau keberkesanan kaedah pelepasan nyamuk aedes mengandungi mikroorganisme ‘Wolbachia’ yang telah dilaksanakan sejak Feb 2017 sebelum memperluas program itu ke seluruh negara

Kami terima keputusan awal yang agak bagus namun kami tidak mahu dedahkan sekarang. Kami akan tunggu hingga kami puas hati dengan keputusan. Bagi kami tempoh setahun lagi,” katanya.

Dr Subramaniam berkata mikroorganisme Wolbachia yang disuntik ke dalam telur nyamuk aedes adalah kaedah untuk menghalang penularan virus denggi dalam kalangan manusia.

Mengenai vaksin Dengvaxia, beliau mengulangi pendirian kerajaan untuk tidak menggunakan vaksin denggi pertama di dunia itu susulan tindakan kerajaan Filipina menggantung penggunaannya selepas syarikat pengeluar memberi amaran bahawa ia akan memburukkan lagi keadaan pesakit dalam kes tertentu.

Kami agak bimbang tentang perkara itu, sebab itulah kami tidak akan menggunakannya (Dengvaxia),” katanya.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata pada tahun lepas sebanyak 83,849 kes demam denggi dilaporkan di negara ini, menurun 17.2 peratus berbanding 101,357 kes yang dicatatkan pada 2016.

Katanya kes kematian akibat demam denggi turut menurun sebanyak 25.3 peratus daripada 237 kematian pada 2016 kepada 177 kematian pada 2017.

Bagi tahun ini sehingga 17 Februari lepas, Dr Subramaniam berkata sebanyak 7,848 kes demam denggi dengan 17 kematian dicatatkan di seluruh negara. — Bernama

Advertisement