Anda di sini

Sebanyak 16 beregu sertai Kejohanan Badminton Double Knock-Out

Advertisement

KUCHING: Sebanyak 16 beregu mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Badminton Double Knock- Out Antara Beregu Jemputan KSRJPNS 2018.

 Antaranya beregu dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Perangkaan Malaysia Sarawak, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Hospital Umum Sarawak (HUS) dan finalis edisi lepas iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak.

 Pertandingan antara jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun itu bakal menyingkap tirai saingannya pada 25 Februari ini di Dewan Serba Guna Kampung Malaysia Jaya, Jalan Astana.

 Penganjuran edisi kedua anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak itu terus mendapat sambutan menggalakkan dari segi penyertaan.

 Menurut penyelaras pertandingan, Abang Iezuan Abang Norjali, slot yang ditetapkan tersebut telah pun penuh dua minggu sebelum tarikh tutup.

 Malah sehingga kini, masih ada beregu yang mahu menghantar penyertaan namun terpaksa ditolak memandangkan slot telah dipenuhi.

 “Alhamdulillah, saya tidak menduga sambutan pada edisi kali ini amat menggalakkan. Terima kasih atas penyertaan beregu yang bakal berentap.

 “Tidak lupa juga kepada Pengerusi KSRJPS Abdul Ghafar Abdul Razak yang banyak memberi idea sepanjang persediaan kejohanan ini,” katanya.

Advertisement