Anda di sini

Rumah amal Sabah rancang bina asrama baharu

Advertisement
 Michael beramah mesra dengan salah seorang penghuni Rumah Amal Sabah.
PROGRAM AMAL: Michael beramah mesra dengan salah seorang penghuni Rumah Amal Sabah.

KOTA KINABALU: Persatuan Rumah Amal Sabah merancang membina sebuah asrama baharu untuk menempatkan pelatihnya serta menjadi kemudahan penginapan sementara untuk orang kelainan upaya (OKU) yang datang ke bandar raya ini.

Pengurusnya Jennifer Liew berkata pembinaan asrama dua tingkat itu sudah diluluskan dan dijangka menelan belanja sebanyak RM1.2 juta.

Asrama ini akan menampung 42 orang, termasuk 16 di tingkat pertama dan 26 di tingkat bawah.

Selain itu, ia juga disediakan untuk para pelatih yang menjalankan kursus pastri, pengemasan dan makanan dan minuman di rumah kebajikan ini,” katanya ketika ditemui pada Program Amal anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI), di sini pada Isnin.

Katanya, golongan kelainan upaya dari luar bandar, terutamanya yang berkerusi roda, juga boleh mendapatkan penginapan sementara di asrama berkenaan dengan bayaran minimum.

Selain itu tambahnya, dapur rumah amal itu juga akan diperluaskan dengan kos RM350,000 bagi memenuhi jumlah penduduk dan pelatih yang semakin meningkat.

Sementara itu, KKCCCI memberi sumbangan berupa peralatan elektrik seperti mesin basuh dan pembersih vakum ke rumah amal Sabah sebagai sebahagian daripada program kebajikan sempena Tahun Baharu Cina.

Presiden KKCCCI Datuk Michael Lui berkata, sumbangan berkenaan bagi memenuhi kelengkapan penghuni rumah amal itu selain memudahkan urusan seharian.

Setiap tahun, kita tidak pernah menghentikan berusaha membangunkan pendidikan Cina, mempromosikan budaya dan menjalankan aktiviti kebajikan sejak penubuhannya pada 1911 lagi.

Melalui penyerahan sumbangan ini, ia sekali gus memberi galakan kepada orang ramai menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan,” katanya.

Selain itu, Michael berkata, Tadika Chung Hwa Likas juga menyumbangkan dana bernilai RM4,000 yang digunakan membeli barangan harian penghuni rumah amal berkenaan.

Advertisement