Anda di sini

Sarawak catat tangkapan ketiga tertinggi POCA

Advertisement
 Dev (tengah) menyaksikan Lee (kiri) menyerahkan dokumen penyerahan tugas kepada Leong di IPK Sarawak, semalam.
SERAH TERIMA TUGAS: Dev (tengah) menyaksikan Lee (kiri) menyerahkan dokumen penyerahan tugas kepada Leong di IPK Sarawak, semalam.

KUCHING: Kontinjen polis Sarawak mencatatkan jumlah tangkapan ketiga tertinggi di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada 2017, selepas Selangor dan Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata seramai 130 individu ditangkap di bawah POCA pada 2017 kerana pembabitan mereka dalam sindiket berkaitan kes pecah masuk rumah dan kecurian (37 orang), kecurian motosikal (26), kecurian (30), rompakan atau jenayah berat (21) dan kecurian kenderaan (16).

Ini juga adalah sebab kenapa indeks jenayah di Sarawak menunjukkan penurunan pada 2017 dengan hanya mencatatkan 6,382 kes, berbanding tahun 2016 yang merekodkan 6,816 kes,” kata Dev.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan upacara penyerahan tugas oleh Timbalan Ketua (Siasatan dan Undang-Undang) JSJ Sarawak ACP Lee Moh Le kepada ACP Denis Leong Soon Kuai semalam.

Beliau menambah, beberapa penjenayah tegar telah ditempatkan di pusat tahanan dan terdapat juga yang dibuang daerah.

Menyentuh mengenai Indeks Jenayah Sarawak bagi 2017, Dev berkata jenayah kekerasan menunjukkan penurunan iaitu daripada 951 kes pada 2016 kepada 882 kes pada 2017.

Peningkatan tertinggi kes ujarnya, adalah rompakan dengan jumlah 88 kes pada 2017 berbanding 75 kes pada 2016 (peningkatan sebanyak 17 peratus) diikuti kes rogol dengan 150 kes pada 2017 berbanding 138 kes pada 2016 (penambahan sebanyak sembilan peratus).

Selain itu, kes bunuh turut meningkat sebanyak satu kes pada 2017 berbanding 27 kes pada 2016.

Di bawah jenayah harta benda, jumlah kes keseluruhan menurun daripada 5,856 kes pada 2016 kepada 5,500 kes pada 2017.

Menurutnya, hanya kes kecurian motosikal sahaja di bawah jenayah harta benda telah meningkat dengan jumlah 2,255 kes pada 2017 berbanding 2,007 kes pada 2016 (peningkatan sebanyak 12 peratus).

Kes lain seperti kecurian katanya, menurun sebanyak tiga peratus atau 39 kes iaitu pecah masuk rumah dan kecurian (-14 peratus, 219 kes); kecurian kenderaan (-23 peratus, 170 kes) dan; kecurian van, lori dan kenderaan berat (-59 peratus, 101 kes).

Dev juga memberitahu Kota Samarahan mencatatkan peningkatan tertinggi kes jenayah dengan 332 kes pada 2017 berbanding 303 kes pada 2016 diikuti Serian dengan 145 kes pada 2017 berbanding 128 kes pada 2016.

  • oleh
  • Advertisement