Anda di sini

Capaian Internet di seluruh negara lebih 90% pada 2020

Advertisement

Kerja naik taraf perkhidmatan fokus kepada Sabah, Sarawak

 Jailani (dua kiri) beramah mesra bersama empat peserta Kembara Semangat Piala Dunia 2018 (dari kiri) Mohd Redzuan, Shidane, Mohd Zairulhaidee dan Izzul selepas ditemu bual dalam program Nine11 terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
TEMU BUAL: Jailani (dua kiri) beramah mesra bersama empat peserta Kembara Semangat Piala Dunia 2018 (dari kiri) Mohd Redzuan, Shidane, Mohd Zairulhaidee dan Izzul selepas ditemu bual dalam program Nine11 terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam memastikan capaian Internet di seluruh negara mencapai lebih 90 peratus menjelang 2020, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Jailani berkata kerja-kerja menaik taraf perkhidmatan capaian Internet bukan sahaja meliputi kawasan bandar, malah turut difokuskan kepada kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

Kita lihat pada 2010, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) melancarkan pelan jalur lebar kebangsaan, sasaran kita pada ketika itu ialah mencapai kadar jalur lebar isi rumah 50 peratus sahaja...tetapi kini kadar penembusan jalur lebar isi rumah telah menjangkau 84.5 peratus di seluruh negara. Jadi di setiap negeri, dari segi kadar statiknya kebanyakannya melebihi 50 peratus.

Program sedia ada akan kami teruskan melalui peruntukan kerajaan tetapi pada masa sama di bawah komersial atau pihak pemberi perkhidmatan, mereka harus memperluaskan rangkaian atau capaian Internet kerana hasrat pihak kerajaan adalah untuk merapatkan jurang digital,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan program ‘Nine11’ terbitan Bernama News Channel, semalam.

Dalam Bajet 2018, sejumlah RM1 bilion diperuntukkan  untuk membangunkan infrastruktur komunikasi dan kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak.

Jailani berkata dalam menghadapi revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi melaksanakan program pendedahan teknologi kepada masyarakat.

Dalam program NBOS ini, kami menyediakan prasarana. Contohnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyediakan prasarana dari segi kemudahan infrastruktur komunikasi dan kemudahan pusat Internet…di situlah masyarakat luar bandar didedahkan dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Jailani berkata pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai program bagi memastikan masyarakat didedahkan dengan industri 4.0 yang akan menyaksikan Internet of Things (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan seharian. 

Mengulas usaha kerajaan dalam menangani penyebaran  berita palsu, Jailani berpandangan bahawa perundangan bukanlah jalan penyelesaian kepada semua masalah.

Ini yang saya cuba tekankan bahawa rumusan paling terbaik adalah program ‘advocacy’ atau kesedaran kerana masyarakat di Malaysia ini suka berkongsi apa sahaja yang kita ada. Kita harus melihat berita palsu ini bukan daripada satu perspektif sahaja, perlu dilihat daripada semua perspektif,” katanya.

Mengambil contoh tragedi MH370, Jailani berkata penularan berita palsu seperti  penemuan serpihan pesawat itu menimbulkan kerisauan banyak pihak terutamanya keluarga mangsa tragedi itu.

Sementara Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengkaji keperluan undang-undang, KKMM turut melaksanakan beberapa mekanisme iaitu pendekatan berbilang serampang menerusi kesedaran, pemantauan ke atas laman-laman yang menyebarkan berita palsu dan penguatkuasaan,” katanya. — Bernama

Advertisement