Anda di sini

LHDN tumpu kepada pengelak cukai tahun ini

Advertisement

Memastikan keadilan bagi semua pembayar cukai dengan mewujudkan sistem yang adil dan telus

SUBANG: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun ini akan mengambil langkah tegas dalam usaha membanteras pengelakan dan pelarian cukai dengan memberi tumpuan terhadap individu dan firma yang melakukan salah laku itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Dr Sabin Samitah berkata kesalahan itu termasuk mereka yang terbabit dalam perancangan cukai secara agresif, secara tidak beretika menyalahgunakan peraturan cukai yang ditetapkan dan memanipulasi akaun mereka untuk memindahkan keuntungan mereka kepada bidang kuasa cukai rendah.

LHDN memandang serius taktik itu, kerana ia mengurangkan pendapatan cukai negara dan menghantar isyarat negatif kepada pelabur berpotensi ke negara ini,” katanya pada perasmian Seminar Ke-9 LHDN-Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF)  2018 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan CEO (Pematuhan) LHDN Abdul Manap Dim.

Seminar itu diadakan bertujuan memberikan perkembangan terkini isu semasa berkaitan cukai pendapatan kepada para perwakilan.

Dr Sabin berkata LHDN akan terus mengambil langkah perlu untuk memastikan pembayar cukai dan orang awam melihat pihak berkuasa cukai itu sebagai entiti yang adil dan telus.

Beliau berkata aktiviti dijalankan lembaga itu bukan di luar kebiasaan tetapi dalam ruang lingkup bidang tugas seperti ditetapkan dalam undang-undang dan tidak boleh disifatkan sebagai ‘agresif’.

Kami sedar kebimbangan berkaitan dengan isu pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai… bagaimanapun tiada apa yang anda perlu risaukan sekiranya anda mematuhi undang-undang cukai kerana kami menumpukan pada pembayar cukai yang tidak mematuhinya. Tujuan kami mudah sahaja, untuk memastikan keadilan bagi semua pembayar cukai dengan mewujudkan sistem yang adil dan telus,” katanya.

Dr Sabin berkata kegiatan ekonomi haram turut menjadi tumpuan LHDN dan pihak lembaga menangani masalah itu menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain.

Dari segi strategi pematuhan, kami juga akan mempergiatkan lagi semua aktiviti kami daripada mengenal pasti dan mendaftarkan pembayar cukai sehingga cukai dikutip. Kami juga akan meningkatkan liputan dan skop aktiviti audit kami,” katanya.

Sementara itu, Abdul Manap semasa ditemui pemberita berkata lebih 10 peratus majikan syarikat dan bukan syarikat gagal menyerahkan Borang E (borang penyata majikan) serta borang CP8D  (senarai pekerja) untuk penilaian pada tahun lepas.

Beliau mengingatkan majikan untuk mematuhi tarikh akhir penyerahan borang iaitu pada 31 Mac.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pengarah syarikat.

Semua pembayar cukai akan berada dalam radar kami termasuk ‘ikan jerung’ (syarikat besar dan multinasional). kami akan mewujudkan satu sistem cukai yang adil kepada pembayar cukai yang patuh, dan mengambil tindakan tegas terhadap pembayar cukai yang sengaja mengelak dan melarikan cukai,” katanya. — Bernama

Advertisement