Anda di sini

Draf undang-undang bendung berita palsu dibentang masa terdekat

Advertisement
 Azalina (tengah) pada majlis pelancaran Akaun Amanah Bantuan Guaman di Jabatan Bantuan Guaman Selangor di Plaza Perangsang, dekat Shah Alam, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Bantuan Guaman Datuk Haini Hassan (kiri) dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Jalil Marzuki. — Gambar Bernama
LANCAR: Azalina (tengah) pada majlis pelancaran Akaun Amanah Bantuan Guaman di Jabatan Bantuan Guaman Selangor di Plaza Perangsang, dekat Shah Alam, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Bantuan Guaman Datuk Haini Hassan (kiri) dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Jalil Marzuki. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Draf undang-undang baharu untuk membendung berita palsu diharap akan dapat dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan perbincangan lebih terperinci dilakukan termasuk melibatkan kajian terhadap aspek hukuman atau bayaran pampasan.

Mungkin menteri-menteri kabinet akan ada pandangan sendiri. Mmungkin daripada segi dasar kerajaan mahu buat pengkhususan dalam aspek hukuman atau dalam aspek bayaran pampasan, itu semua kita kena kaji.

Sebaik kita dapat konsensus dalam Kabinet, saya berharap kita boleh bawa undang-undang baharu ini ke sesi Parlimen akan datang,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Akaun Amanah Bantuan Guaman di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Datuk Haini Hassan.

Pada 30 Januari lepas, Azalina mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Beliau dilaporkan berkata, langkah baharu untuk menangani penularan berita palsu perlu diambil supaya orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menyebarkan dan berkongsi berita tidak sahih serta memastikan keselamatan negara terus dipelihara.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, jawatankuasa khas tersebut akan mengadakan mesyuarat teknikal kedua esok bagi melihat cara draf undang-undang baharu berkenaan dibaca bersama akta-akta berkaitan sedia ada.

Besok (hari ini), dalam mesyuarat teknikal itu, wakil-wakil dari agensi berkaitan termasuk dari Jabatan Peguam Negara akan lihat undang-undang sedia ada. Undang-undang baharu ini ada sikit dalam Kanun Keseksaan, ada sedikit di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Undang-undang baharu ini tidak ada definisi tertentu serta tiada pendekatan yang lebih fokus. Ini kerana berita palsu tidak semestinya melibatkan individu, kadang-kadang ia melibatkan institusi dan tidak semestinya berita atau maklumat palsu itu dari dalam negara, ia boleh datang dari luar negara. Jadi macam-macam kita kena tengok intipati (draf),” katanya. — Bernama

Advertisement