Anda di sini

Skuad kebangsaan mampu mencapai sasaran awal

Advertisement

ALOR SETAR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yakin bahawa skuad kebangsaan mampu mencapai sasaran awal iaitu menjuarai saingan peringkat Kumpulan C Kejohanan Berpasukan Asia yang akan bermula hari ini.

 Pengurus pasukan, Datuk Ng Chin Chai berkata keseluruhan pasukan berada pada prestasi terbaik selain bebas daripada sebarang kecederaan dan mampu menampilkan aksi terbaik mereka.

 Mengulas mengenai pertemuan pembuka tirai bertemu Thailand esok di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, pemain beregu lelaki negara, Ong Yew Sin yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan belakang semasa menjalani latihan juga sudah kembali cergas sepenuhnya untuk aksi pertama peringkat kumpulan.

 “Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) juga tidak mengalami sebarang kecederaan namun bergantung kepada jurulatih (Datuk Misbun Sidek) sama ada dia akan diturunkan dalam perlawanan esok atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.

 Tambah Chin Chai, berdasarkan kepada keadaan semasa juga, dia melihat pasukan negara mampu untuk menjadi juara kumpulan.

 “Bagaimanapun, mereka perlu bekerja keras kerana setiap mata sangat penting buat pasukan negara,” katanya.

 Dalam pada itu, aksi pembukaan esok diketuai Datuk Lee Chong Wei yang akan memulakan kempen kelayakan Piala Thomas bertemu Thailand.

 Selain Chong Wei dan Iskandar, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven turut diberi kepercayaan menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan.

 Sementara pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong bersama Teo Ee Yi-Yew Sin dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumasani diberi tanggungjawab untuk cabaran beregu lelaki bagi mencapai sasaran layak ke separuh akhir untuk mendapatkan tiket kelayakan automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei ini.

 Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, Thailand dan Myanmar. — Bernama

Advertisement