Anda di sini

Perbanyakkan pusat rehat dan jagaan ibu bersalin

Advertisement

Terdapat keperluan terhadap perkhidmatan seperti itu pada masa ini, terutama di kawasan bandar, kata Fatimah 
 

KUCHING: Lebih banyak pusat rehat dan jagaan untuk ibu yang baharu bersalin bersama bayi mereka perlu diwujudkan di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ia kerana terdapat keperluan terhadap perkhidmatan seperti itu pada masa ini, terutama di kawasan bandar.

Menurut beliau, keperluan terhadap perkhidmatan tersebut wujud disebabkan perubahan struktur keluarga di mana kebanyakan pasangan suami isteri sudah tinggal di rumah sendiri.

Dahulu banyak pasangan tinggal dengan keluarga dan apabila isteri bersalin, mereka dan bayi akan dijaga oleh ibu atau ibu mentua.

Tetapi sekarang terutama di bandar, pasangan lebih cenderung tinggal di rumah sendiri dan apabila beranak, si ibu dan bayinya akan berdepan masalah untuk dijaga.

Maka itu, wujud keperluan untuk perkhidmatan jagaan ibu yang baharu bersalin dan bayi mereka sekarang,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pembukaan rasmi Tulip Mama House di sini, semalam.

Justeru, Fatimah memuji inisiatif Tulip Mama House yang menjadi pusat rehat untuk ibu lepas bersalin dan penjagaan bayi yang pertama di Sarawak.

Selain menawarkan perkhidmatan penjagaan ibu lepas bersalin dan bayi menggunakan tenaga jururawat profesional, Tulip Mama House juga menyediakan pelbagai keperluan untuk ibu dan bayi mereka termasuk dari segi nutrisi makanan.

Malah, ia turut dilengkapi dengan kamera litar tertutur (CCTV) dan sistem penggera sebagai langkah keselamatan yang ketat khususnya terhadap bayi yang ditempatkan di situ.

Dalam pada itu, Fatimah turut menyeru pusat yang terletak berhampiran kawasan komersial 101 itu agar menekankan amalan penyusuan susu ibu untuk bayi masing-masing.

Kerajaan sekarang amat menekankan penyusuan susu ibu untuk bayi dan saya berharap Tulip Mama House akan dapat memberi tunjuk ajar khususnya kepada ibu yang pertama kali melahirkan anak,” katanya.

Hadir sama pemilik Tulip Mama House Susana Wong dan Pengurusnya Wong Kai Lin.

  • oleh
  • Advertisement