Anda di sini

Masyarakat harus ikhlas menyumbang, bukan untuk mendapat publisiti: Dr Sim

Advertisement

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian mengajak setiap masyarakat sama-sama menyumbang ke arah kebaikan.

Bagaimanapun menurut Dr Sim, sumbangan tersebut haruslah ikhlas dari hati dan bukan sekadar untuk mendapatkan publisiti.

Saya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor Tabuan Jaya yang tidak pernah gagal menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan setiap tahun bukan sahaja pada perayaan Tahun Baharu Cina tetapi juga perayaan  lain.

Tetapi suka saya ingatkan mereka berhasrat untuk menghulurkan bantuan ini harus melakukannya dengan ikhlas hati dan bukan kerana publisiti.

Itu yang lebih penting dan saya mahu setiap daripada kita melakukan satu perkara baik setiap hari dengan memberi senyuman bagi menceriakan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada penyampaian sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di pekarangan premis persatuan tersebut di Tabuan Jaya di sini  semalam.

Dalam pada itu, jurucakap majlis berkata seramai 220 penerima dari bahagian Kuching dan Samarahan menerima sumbangan masing-masing berupa barangan makanan dan keperluan harian.

Barang-barang seperti beras, gula, biskut, minyak masak dan wang tunai merupakan sumbangan daripada pelbagai individu dan badan korporat untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Penaja utama bagi sumbangan ini iaitu Datuk Yong Khoon Seng yang merupakan penasihat kehormat persatuan dan turut hadir pada majlis itu semalam bersama Dr Sim serta yang lain.  

Advertisement