Anda di sini

Limau mandarin tradisi pengukuhan kaum sempena TBC

Advertisement

MIRI: Limau mandarin menjadi simbol pengukuhan kaum lebih-lebih lagi ia antara sumbangan utama kepada orang ramai ketika menyambut Tahun Baharu Cina (TBC).

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, sudah menjadi tradisi SUPP Sarawak mengedarkan limau mandarin kepada orang ramai.

Kami mengedarkan limau mandarin kepada rakyat pelbagai kaum dan bagi kepercayaan masyarakat Cina, mengagihkan limau mandarin ini membawa nasib yang baik,” katanya di sini semalam.

Tradisi ini telah dilaksanakan sejak bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan menjadi presiden SUPP.

Tradisi ini masih dikekalkan sehingga hari ini khasnya di Miri kerana selain mengedarkan limau, kita juga dapat mengeratkan hubungan,” jelasnya.

Limau mandarin diagihkan kepada orang awam di kedai kopi, tamu, pasar ikan dan kawasan komersial Miri sejak dua hari lalu.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin berharap TBC tahun ini memberi nasib yang baik serta ekonomi negara turut berkembang.

Selain mengharapkan ekonomi terus berkembang, kita juga berharap rakyat pelbagai kaum terus hidup bersatu padu dalam suasana harmoni,” jelasnya.

Pada masa sama, rakyat Sarawak juga digesa  terus menyokong usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg membangunkan ekonomi digital.

Rakyat pelbagai kaum di Sarawak perlu berganding bahu membantu kerajaan merancakkan ekonomi digital yang lebih mapan,” jelasnya.

Hal ini katanya, disebabkan ekonomi yang berkembang pesat akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat terutama dalam membangunkan infrastruktur.

Hadir sama Datuk Bandar Miri Adam Yii, Ketua Operasi Biro Aduan Awam SUPP Miri Erick Chin Fen Siong serta ketua masyarakat Cina dan ahli SUPP Miri.

Advertisement