Anda di sini

Beberapa kampung di Lundu dan Sematan dilanda banjir

Advertisement

Ia akibat fenomena air pasang besar dan hujan berterusan sejak Jumaat lepas namun tiada mangsa dipindahkan

KUCHING: Beberapa kampung di kawasan Lundu dan Sematan dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar dan hujan berterusan sejak Jumaat lepas.

Bagaimanapun menurut Pegawai Daerah Lundu Awang Putra Yusri situasi banjir di kedua-dua daerah berkenaan masih terkawal dengan tiada mangsa dipindahkan setakat ini.

Antara kampung yang terjejas di Lundu setakat petang semalam ialah Kampung Stunggang Melayu Baru dan Lama, Kampung Sileng Melayu, Kampung Dagang, Kampung Semunin, Kampung Bitokan dan Kampung Selampit.

Turut terjejas beberapa kampung di Sematan iaitu Kampung Sebat Baru, Kampung Siru Dayak, Kampung Pueh, Kampung Tembaga Dayak, Kampung Paon, Kampung Sebako dan Kampung Trusan Jaya.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lundu dan Sematan telah mengerahkan anggotanya untuk memantau kampung-kampung yang dilanda banjir dengan kekuatan 12 anggota di Lundu dan 15 anggota di Sematan.

Jika ada keperluan kami akan menambah bilangan anggota untuk turun membantu mangsa banjir dibantu pihak bomba dan penyelamat, polis termasuk petugas kesihatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Awang, bilik operasi banjir yang berpusat di Pejabat Daerah Lundu akan dibuka hari ini untuk menyalurkan maklumat mengenai situasi banjir dari semasa ke semasa.

Beliau turut menasihati penduduk yang terjejas agar mengambil langkah berjaga-jaga dan berpindah ke tempat yang selamat jika situasi bertambah buruk.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu semalam turut turun padang meninjau situasi banjir di beberapa kampung terjejas di Sematan.

Antara kampung yang dilawati Jamilah pagi semalam di Sematan ialah Kampung Trusan Jaya.

Manakala pada sebelah petang, beliau mengadakan lawatan ke Kampung Sileng Melayu di Lundu bagi meninjau situasi banjir dan keadaan mangsa di kampung itu.

  • oleh
  • Advertisement