Anda di sini

Zambry ‘diserang’ kerana beliau batu penghalang pembangkang tawan Perak

Advertisement

IPOH: Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad menyifatkan serangan pembangkang terhadap Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir adalah disebabkan Menteri Besar Perak itu merupakan batu penghalang mereka untuk menawan negeri ini.

Beliau berkata hakikatnya pembangkang ketandusan isu untuk mengkritik Zambry.

“Mereka tahu selagi Zambry memimpin kerajaan negeri, mereka tidak ada isu untuk dibangkitkan.

“Malah ulasan-ulasan dalam portal berita (pembangkang) yang condong kepada mereka mengakui Zambry ada-lah batu penghalang untuk mereka menawan Perak,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Saarani yang juga Ketua Whip Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Perak berkata demikian sebagai mengulas kenyataan ADUN Sitiawan Datuk Ngeh Koo Ham yang membangkitkan isu pembayaran bonus dan pemberian kereta mewah kepada Zambry oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kelmarin.

Mengulas lanjut, Saarani berkata tuduhan tersebut menggunakan isu kitar semula yang telah dijawab ber-ulang kali sama ada di dalam mahupun di luar persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Perkara (bayaran bonus) itu sudah berkali-kali dijelaskan bahawa ia dibayar semasa PKNP memperoleh keuntungan dan bayaran berkenaan bukan sahaja diterima oleh pengerusi tetapi juga pegawai dan kakitangan perbadanan tersebut.

“Kereta yang dibeli oleh PKNP untuk kegunaan menteri besar bukanlah milik peribadi beliau seperti mana yang didakwa tetapi untuk kegunaan syarikat,” katanya.

Saarani juga bertanya sama ada wakil rakyat DAP itu berani menongkah arus mendesak Ketua  Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meletak jawatan susulan beberapa skandal yang di-hadapinya.

“Ini membuktikan sikap hipokrit tahap yang tinggi dimiliki pemimpin DAP di Perak dengan mencipta ‘skandal’ dan fitnah untuk memburuk-burukkan orang lain tetapi menutup mata dan mengunci mulut terhadap skandal yang dihadapi pemimpin mereka sendiri,” tegas Saarani.

Pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini kelmarin, Ngeh memdakwa Zambry menerima bonus sebanyak RM115,000 dan pembelian kereta mewah jenis Audi Q7 bernilai RM620,996 daripada PKNP.

Sementara itu di Taiping, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid pula menyifatkan Ngeh sengaja berniat jahat dan cuba menghasut  rakyat dengan memanipulasikan isu kononnya Menteri Besar Perak itu terbabit dengan salah laku.

Mohammad Zahir yang juga ADUN Kamunting berkata perbuatan Ngeh menuduh polis menjadi ejen kerajaan kerana tidak menyiasat isu salah laku itu juga bertujuan berniat jahat untuk menghasut rakyat.

“Ngeh sebenarnya sudah kehabisan idea serta tidak ada isu untuk dibangkitkan, sebaliknya menayangkan semula filem-filem lama bagi menarik perhatian rakyat  yang kini sudah tidak lagi terpedaya dengan taktik serta strategi mereka,” katanya pada sidang media di pusat khidmatnya di Kamunting di sini semalam.

Beliau turut percaya pembangkang kini semakin ter-desak dan terpaksa meng-ulangi tohmahan liar serta tuduhan lapuk yang telah dijawab bersama bukti-bukti jelas oleh kerajaan.

“Jika mereka berani berbohong di DUN, pada mereka berbohong dalam sidang media serta di pentas ceramah adalah satu perkara mudah,” katanya. — Bernama

Advertisement