Anda di sini

Menderma darah usah menunggu seruan kritikal: Tabung Darah

Advertisement
 Penderma juga mendengar sesi kaunseling oleh doktor yang bertugas sebelum menderma darah.
NASIHAT: Penderma juga mendengar sesi kaunseling oleh doktor yang bertugas sebelum menderma darah.

KESEDARAN masyarakat mengenai Kempen Derma Darah perlu dipertingkat lagi menerusi usaha promosi dan publisiti menyeluruh.

Menerusi platform media massa yang kini meluas khususnya media sosial, Tabung Darah Hospital Umum Sarawak mengambil langkah proaktif dalam mempromosi Kempen Derma Darah hampir setiap minggu.

Tujuannya adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai berhubung kempen yang diadakan dan menarik lebih ramai penderma baharu.

Secara amnya, Hospital Umum Sarawak menggunakan simpanan darah setiap hari melibatkan kes pembedahan, klinikal dan kes luar jangkaan.

Oleh itu bekalan darah yang diperoleh harus mencukupi untuk memenuhi penggunaan semasa dan juga keperluan terutamanya menjelang musim perayaan.

Menurut Pakar Transfusi Jabatan Patalogi  HUS Dr Mohamad Masrin Md Zahrin, penggunaan darah meningkat hampir 20 peratus di kebanyakan hospital berbanding sebelumnya disebabkan kes-kes tersebut.

“Selain itu, HUS juga memerlukan darah secara berkala untuk pesakit talasemia dan kanser untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu lalu.

Di Surau Darul Hijrah, Bandar Baru Samariang di Kuching pada Sabtu, Kumpulan Bergerak Tabung Darah HUS mengadakan Kempen Derma Darah bermula jam 9 pagi dan berakhir 2 petang.

Kempen yang dianjurkan Jawatankuasa Surau Darul Hijrah itu bertujuan memberi peluang kepada para penderma di kawasan berhampiran untuk datang menderma darah.

Menurut salah seorang penderma, Mohamad Noor Bujang, 44, dorongan untuk membantu orang lain menjadi asas kepada beliau untuk turut sama menderma darah.

“Saya suka membantu mereka yang memerlukan kerana saya tahu entah esok atau lusa giliran saya pula yang memerlukan bantuan.

“Sebab itu niat kita hendaklah baik bagi mendapat balasan yang baik di kemudian hari,” jelasnya.

Beliau yang bertugas sebagai imam di masjid berhampiran turut berkata, hebahan melalui pengumuman dari surau, di samping poster promosi kempen membantu masyarakat setempat untuk mengetahui kempen yang berlangsung di surau berkenaan.

 Mohamad Noor ditemani anaknya semasa menderma darah, baru-baru ini.
SUKA MEMBANTU: Mohamad Noor ditemani anaknya semasa menderma darah, baru-baru ini.

Sementara itu, bagi peniaga Paridah Mumin, 44, walaupun tidak berjaya menderma, beliau tidak akan putus asa untuk menderma pada masa hadapan.

“Mungkin kerana faktor tidak cukup rehat, saya tidak berjaya untuk menderma pada hari ini.

“Akan tetapi saya akan meneruskan niat saya untuk menderma kerana saya tahu saya akan membantu ramai pesakit sekiranya saya menderma darah,” ujar Paridah.

Paridah turut menceritakan pengalaman beliau menderma darah kepada adiknya yang menghidap penyakit buah pinggang beberapa tahun lalu.

“Ketika itu saya menderma darah saya kepada adik dan selepas itu saya membuat keputusan untuk menjadikan derma darah sebagai amalan untuk membantu mereka yang lain,” jelasnya lagi.

Paridah juga menyarankan agar kempen sebegini dilakukan dengan lebih kerap di kawasan perumahan kerana orang ramai mempunyai peluang untuk datang atas faktor jarak dan masa.

Abdul Nazir Talib, 45, pula menyatakan niat beliau untuk menderma darah adalah kerana Allah.

Beliau yang bekerja sebagai buruh berkata, rasa takut terhadap jarum dapat dihindari sekiranya individu tersebut sudah bersedia untuk menderma darah.

“Tiada sesiapa yang dapat memaksa diri kita untuk melakukan sesuatu perkara melainkan kita sendiri telah bersedia.

“Apa yang penting ialah keyakinan kepada apa yang kita lakukan. Insya-Allah semuanya akan dipermudahkan,” jelas Nazir.

Seramai 26 penderma berjaya menderma pada kempen yang diadakan kali ini, manakala enam lagi tidak berjaya atas faktor kurang rehat dan lain-lain.

Kempen sama juga telah diadakan di Pasar Raya Eastern Mall, Siburan bemula jam 10 pagi hingga 3 petang semalam yang dihadiri 35 penderma.

Advertisement