Anda di sini

Tidak dibenar pegang dua jawatan

Advertisement
 Posa (empat kanan) bersalaman dengan Kim sambil disaksikan (dari kanan) Abdul Rahman, Ian, Abdul Wahab, Cassidy, Abang Suhordie dan Duke di Kuching semalam.
IMPORT BAHARU: Posa (empat kanan) bersalaman dengan Kim sambil disaksikan (dari kanan) Abdul Rahman, Ian, Abdul Wahab, Cassidy, Abang Suhordie dan Duke di Kuching semalam.

Razali umum meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS berkuat kuasa 17 Januari 2018

KUCHING: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan mengumumkan perletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS berkuat kuasa 17 Januari 2018.

 Perkara itu diumumkan oleh Presiden FAS, Datuk Posa Majais pada sidang media di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.

 Menurut Posa, perletakan Razali atas nasihat Pesuruhjaya Sukan Sarawak (PSS) yang tidak menggalakkan mana-mana exco persatuan memegang dua jawatan dalam persatuan di negara ini.

 “Selaku presiden dan exco FAS yang lain, kita menghormati dan menerima keputusan Razali dengan hati yang terbuka.

 “Bagaimanapun, beliau masih memegang jawatan sebagai Naib Presiden FAS ketika ini.

 Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif FAS, Jeffery Lana dilantik sebagai pemangku Setiausaha Agung sementara mencari pengganti Razali.

 “Kita menerima manamana calon yang layak dan berminat memikul tanggungjawab tersebut.

 Namun, apa yang penting calon terbabit mestilah berwibawa dan boleh menggalas tugas dengan baik,” kata Posa.

 Serentak dengan itu, beliau turut mengumumkan rombakan dalam pengurusan FAS di mana Abang Abdul Rahman Abang Naim dilantik sebagai bendahari dan dibantu Jeffery sebagai penolong bendahari.

 Beliau turut mengumumkan pengwujudan jawatan baharu iaitu ketua penyelaras bagi skuad senior, Piala Presiden dan Piala Belia dipegang Naib Presiden FAS, Cassidy Morris.

 Timbalan Presiden, Abdul Wahab Rahim pula mengambil alih tugas sebagai pengurus skuad senior daripada Posa dan beliau akan dibantu oleh Razali.

 Pengurus dan penolong pengurus skuad Piala Presiden kekal disandang Duke Janteng sambil dibantu Abang Fomay.

 Begitu juga jawatan pengurus skuad Piala Belia kekal dipegang Abang Suhordie Abang Zaini dan dibantu Abdul Razak Salleh.

 Terdahulu, Posa mengumumkan pengambilan bekas pemain import kebangsaan Korea Selatan, Kim Chigon.

 Pemain pertahanan berusia 34 tahun itu pernah menyertai FC Seoul dan Ulsan Hyundai.

 “Kita mengumumkan pengambilan Kim (Chigon) bagi mengisi kuota pemain import Asia.

 Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada laporan perubatannya.

 “Dengan pengambilan Kim maka lengkaplah pengambilan empat pemain import asing Sarawak bagi musim 2018 ini,” katanya.

 Hadir sama Abdul Wahab, Abang Suhordie, Duke, Cassidy, Abdul Rahman dan ketua jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillan.

 Sarawak akan mengumumkan skuad Liga Premier 2018 pada majlis pelancaran jersi di Pusat Beli-Belah Mydin, Vista Tunku, Petra Jaya di sini jam 3 petang ini.

  • oleh
  • Advertisement