Anda di sini

Snowdan sokong penuh SSTJ sebagai pusat kepada lima jenis acara sukan

Advertisement

KUCHING: Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan menyokong penuh perancangan Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya (SSTJ) menjadikan sekolah tersebut pusat kepada lima acara sukan iaitu olahraga, memanah, bola sepak, bola baling dan sepak takraw.

 Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pengetua SSTJ, Edward Ngelai berbincang dengan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee mengenai perkara tersebut.

 “Ia tidak menjadi masalah dan kita boleh berbincang mengenainya.

 MSNS boleh mengatur perancangan menghantar jurulatih ke sekolah tersebut untuk mengadakan program latihan,” katanya semasa merasmikan kem olahraga SSTJ di sekolah itu semalam.

 Snowdan berkata, beliau juga mempertimbang permohonan memasang kipas di tempat kediaman pelajar.

 Kem tiga hari itu disertai seramai 367 pelajar bertemakan ‘Reach For The Stars’ dengan objektif membaiki pengurusan diri pelajar, personaliti, tahap keyakinan, pembinaan dan pengukuhan mental dan fizikal, mengenal pasti sasaran akademik dan sukan serta langkah secara saintifik beberapa program sukan.

 Menurut Snowdan, pelajar merupakan masa depan Sarawak dan negara justeru beliau mahu mereka kekal fokus dalam apa juga bidang sukan diceburi.

 “Untuk mencapai sasaran sama ada akademik atau sukan, anda bukan sahaja mesti bekerja keras tetapi bijak.

 Saya harap satu hari kelak anda dapat menjadi bintang sukan seperti ratu terjun, Pandelela Rinong dan menjadikan Sarawak bangga,” katanya.

 Hadir sama Dr Ong dan Ketua Unit Sukan, Johnny Rasit yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon.

Advertisement