Anda di sini

PRU14: Kemenangan besar BN negeri penting

Advertisement

Ulangi sejarah kejayaan besar untuk memastikan suara rakyat Sarawak terus didengari, kata Fadillah

LIMBANG: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) penting untuk memastikan mandat dan suara rakyat Sarawak terus diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB Negeri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata rakyat Sarawak perlu mengulangi sejarah memperolehi kejayaan besar pada PRU lepas.

Sarawak perlu menang besar pada PRU14 nanti untuk mengekalkan kemenangan negeri ini yang memperolehi kerusi kedua terbesar selepas UMNO pada PRU lepas,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Ketua Pemuda PBB Sarawak di Dewan Suarah di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Lambir Ripin Lamat, Ketua Pemuda PBB Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat, Ketua Pemuda Batu Danau Elvis Mathew Bongsu, Ketua Pemuda PBB Bukit Sari Madon Nasip dan wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) lain.

Fadillah berkata kemenangan besar Sarawak akan dapat mempengaruhi dasar dan keputusan persekutuan kerana suara rakyat Sarawak kuat dalam kabinet persekutuan.

Selain mendengar suara dan mandat rakyat negeri ini, kerajaan persekutuan juga akan memberi peruntukan besar untuk pembangunan di Bumi Kenyalang termasuk Lebuh Raya Pan Borneo dan peruntukan (mengatasi masalah) sekolah daif,” tambah beliau.

Beliau mahu rakyat menolak pembangkang yang disifatkannya sebagai tidak mempunyai harapan.

Ayuh rakyat Sarawak, barisan parti komponen BN kita berjuang habis-habisan untuk kemenangan besar membentuk kerajaan bagi meneruskan pembangunan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Fadillah berkata Abang Johari melaksana dasar pembangunan dengan melakukan perubahan untuk menjadi negeri terkaya.

Abang Johari melakukan penyusunan ekonomi ke arah Ekonomi Digital dan pembangunan untuk bandar, separa bandar dan luar bandar dengan membangunkan kemudahan telekomunikasi dan capaian Internet,” jelasnya.

Katanya lagi, projek Lebuh Raya Pan Borneo fasa kedua yang membabitkan Limbang dan Lawas kini berjalan lancar.

Bagi fasa kedua membabitkan Limbang dan Lawas, ada perubahan jajaran. Kita sudah berbincang dengan Brunei berhubung perubahan jajaran yang akan dimuktamadkan sedikit masa lagi,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement