Anda di sini

MBM bangun laman web e-dagang untuk pasar produk kraf tempatan

Advertisement

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) sedang membangunkan laman web e-dagang untuk memasarkan produk kraf tempatan ke pasaran luar.

Laman web tersebut dijangka dilancarkan pada penghujung Februari.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Lee Kim Shin berkata, penggunaan laman web ini selaras seruan kerajaan negeri untuk menerokai lebih banyak peluang perniagaan digital.

Perniagaan kraf mempunyai ruang yang cukup luas untuk diterokai khususnya dari segi pemasaran.

Justeru, saya amat mengalu-alukan langkah MBM membuka laman web bagi memasarkan produk tempatan khususnya ke luar negara,” ujarnya semasa merasmikan pelancaran Pusat Kraftangan Miri di sini semalam.

Lee menambah, Sarawak khususnya Miri kaya dengan keunikan kraf tangan seperti bakul, manik, ukiran dan kain tenunan yang mempunyai permintaan tinggi di luar negara.

Laman web e-dagang ini membolehkan peniaga mempromosi serta memasarkan produk mereka ke luar negara tanpa mengira sempadan.

Peniaga tidak lagi bergantung dengan pembeli tempatan kerana produk mereka boleh dilihat dan dibeli melalui laman web.

Pada masa sama, ia menggalakkan orang awam untuk mengunjungi kedai fizikal mereka di sini. Justeru saya berharap peserta Pusat Kraftangan Miri dapat merebut peluang ini untuk sama-sama meningkatkan jualan produk mereka,” kata Lee.

Terdahulu, Datuk Bandar Adam Yii Siew Sang berkata pusat kraf tangan baharu itu kini mempunyai reka bentuk moden yang selesa dan cantik, selain mempunyai parkir kereta yang banyak untuk keselesaan pengunjung.

Katanya, pusat itu dahulu merupakan Dewan Masyarakat Miri iaitu dewan pertama dibina dan kosnya dibiayai kerajaan, Shell Oilfields Limited dan MBM yang ketika itu dikenali sebagai Miri Urban District Council dan dibuka kepada orang awam pada 1958.

Projek menaik taraf Pusat Kraftangan Miri itu menelan kos hampir RM1.9 juta dan kini mempunyai 13 gerai yang menjual pelbagai produk kraf selain makanan tempatan.

Usaha menaik taraf pusat ini sejajar dengan usaha kita menjadikan Miri sebagai bandar raya pelancongan selain salah satu tarikan pelancong ke Miri,” kata Adam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting, Timbalan Datuk Bandar Miri Julaihi Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan, Kaunselor Ernest Goh, Pegawai Daerah Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, ahli-ahli MBM, ketua-ketua masyarakat dan pemilik gerai kraf tangan.

Advertisement