Anda di sini

Lelaki dari Jalan Batu Kawa-Matang kes terbaharu positif virus rabies

Advertisement

KUCHING: Sarawak merekodkan satu lagi kes jangkitan virus rabies apabila seorang lelaki berusia 59 tahun dari Jalan Batu Kawa-Matang di sini disahkan positif virus itu, kelmarin.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa dijangkiti wabak penyakit anjing gila di negeri ini meningkat kepada tujuh orang.

Pada hari ini (Sabtu), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah memaklumkan satu kes baharu yang disahkan rabies manusia pada 26 Januari 2018 melalui ujian makmal,” kata kenyataan itu, semalam.

Menurut Sekretariat JPBN Sarawak, lelaki itu mempunyai sejarah digigit anjing pada 27 November 2017 dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta di bandar raya Kuching pada hari sama.

Bagaimanapun, mangsa tidak dirujuk kepada fasiliti kesihatan kerajaan untuk vaksinasi dan pada 20 Januari, dia mengalami sakit serta lemah anggota kaki dan dimasukkan ke hospital swasta pada 24 Januari.

Dia dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 25 Januari untuk rawatan lanjut dan kes telah menunjukkan gejala hidrofobia, halusinasi dan agresif.

JKNS akan mengeluarkan surat amaran kepada sebuah klinik kesihatan yang gagal melaporkan satu kes gigitan anjing serta gagal merujuk kes tersebut ke klinik atau hospital kerajaan untuk pengurusan lanjut ke atas kes gigitan anjing,” katanya.

Pengamal perubatan di klinik dan hospital swasta di Sarawak diseru mematuhi Garis Panduan Pengendalian Kes Gigitan Anjing dan Haiwan Lain termasuk merujuk kes kepada fasiliti kesihatan kerajaan.

JKNS juga akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua klinik dan hospital swasta untuk melaporkan sebarang kes berkaitan gigitan anjing dan haiwan dengan kadar segera kepada Pejabat Kesihatan terdekat bagi menyelamatkan nyawa manusia.

Sementara itu, JKNS akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain yang berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies di Sarawak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Dari 30 Jun 2017 hingga 26 Januari 2018, tujuh kes rabies manusia dilaporkan di Sarawak dengan lima kes telah meninggal dunia dan dua lagi sedang menerima rawatan di HUS.

Lima mangsa terdahulu yang dijangkiti rabies telah meninggal dunia dengan dua daripadanya ialah adik-beradik dari Kampung Paon Rimu Bakung, Serian serta masing-masing seorang dari Kampung Lebor, Kampung Seraban dan Kampung Remun.

Pada 8 Ogos lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Kampung Kuala, Gedong di Bahagian Samarahan, disahkan dijangkiti wabak itu selepas sampel darahnya disahkan positif.

Setakat Jumaat, terdapat 28 kawasan positif rabies di lima bahagian iaitu di Serian, Samarahan, Sri Aman, Kuching dan Sarikei.

Sekretariat JPBN turut melaporkan, Active Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing turut dilaksanakan di kawasan wabak rabies di Sarawak.

Aktiviti itu melibatkan siasatan di 20,301 rumah dengan 78,465 individu telah ditemu duga bagi sejarah gigitan anjing, dan sebanyak 6,158 kes gigitan haiwan telah dikesan di kawasan wabak dan telah diberikan rawatan.

Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga telah diberi kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Orang ramai diingatkan untuk terus berwaspada dan mengelak daripada digigit anjing dan kucing.

Sekiranya digigit, langkah pencegahan segera perlu diambil dengan mencuci luka bahagian yang terkena gigitan dengan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit dan segera mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.

Advertisement