Anda di sini

IR 4.0 perlu graduan holistik dan seimbang, berciri keusahawanan

Advertisement

MIRI: Pelajar perlu menyedari bahawa terdapat bidang pekerjaan yang tidak relevan dalam mendepani cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata era IR 4.0 memerlukan graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan.

Terdapat pekerjaan yang tidak relevan di masa hadapan, kementerian komited untuk menyahut cabaran ini dengan mewujudkan kursus-kursus baharu yang lebih holistik dan sesuai dengan peredaran masa,” ujarnya.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2018 di sini semalam.

Menurutnya, perubahan kokurilum perlu dilakukan secara agresif supaya segala keperluan industri dipenuhi seterusnya mewujudkan kebolehpasaran graduan.

Graduan perlu berfikiran terbuka dan mengubah paradigma bahawa setiap bidang yang mereka pelajari bukan hanya menawarkan pekerjaan, malah boleh menjadi usahawan,” katanya.

Menurut Lee lagi, kerajaan menekankan sistem yang tidak hanya menumpukan kepada laluan akademik biasa, tetapi turut memberi tumpuan bidang teknikal dan latihan vokasional.

Inti pati pelan pembangunan ialah memupuk minda keusahawanan dalam seluruh sistem pendidikan tinggi.

Pada masa sama mewujudkan sistem pendidikan yang dapat melahirkan graduan berciri keusahawan, bukan hanya mencari kerja selepas habis belajar,” katanya.

Mengulas tentang karnival itu, Lee berkata ia memberi lebih banyak peluang kepada kumpulan sasaran untuk memperoleh maklumat berkaitan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Masyarakat hendaklah mengambil peluang ini untuk berbincang, bertukar-tukar pendapat dan mendapatkan maklumat secara langsung dengan wakil institusi tinggi dan kemahiran,” jelasnya.

Selain itu katanya, ia dapat mewujudkan kerjasama agensi kerajaan dan memaksimumkan peranan agensi itu untuk mendekati masyarakat Miri.

Pada majlis itu, seramai sembilan pelajar Kolej Komuniti Miri mendapat Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti bernilai RM1,200 setiap seorang.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Pendidikan Tinggi Dato Kamel Mohamad dan Pengarah Kolej Komuniti Miri Fadil Aziz.

Advertisement