Anda di sini

Yayasan Sarawak lawat pelajar genius Sarawak di Pusat PERMATApintar Negara

Advertisement
 Rombongan Yayasan Sarawak merakam kenangan secara berkumpulan dengan pelajar-pelajar Sarawak, di Pusat PERMATApintar Negara.
LAWAT: Rombongan Yayasan Sarawak merakam kenangan secara berkumpulan dengan pelajar-pelajar Sarawak, di Pusat PERMATApintar Negara.

YAYASAN Sarawak melawat 25 pelajar dari Sarawak di Pusat PERMATApintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia, pada Selasa.

Lawatan itu disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr Sabariah Putit merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak dan Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang.

Delegasi Yayasan Sarawak disambut Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, Profesor Datuk Dr Noriah Mohd Ishak serta Timbalan Pengarah Prof Madya Dr Rorlinda Yusof.

Pada lawatan itu, Noriah turut memberi penerangan mengenai misi serta fungsi dan juga aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Pusat PERMATApintar Negara bagi membimbing serta mengajar kanak-kanak genius seluruh negara di pusat tersebut.

Kesemua 25 pelajar genius Sarawak itu menerima tajaan Biasiswa Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak.

Awangku Mohammad Daniel Abdullah, 12, dari Limbang merupakan pelajar Sarawak termuda di pusat tersebut.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu dirinya teruja meskipun sedikit gentar kerana berdepan dengan persekitaran yang baharu, namun akan memberi yang terbaik demi kejayaan.

Bagi Grace Chai Yu Xuan, 17, dari Kuching, beliau berasa bertuah kerana berpeluang belajar di pusat tersebut kerana bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan serta Matematik (STEM) merupakan topik dan subjek kegemaran beliau.

Melalui Pusat PERMATApintar Negara katanya, beliau boleh meneroka lebih banyak peluang serta eksperimen yang dijalankan.

Nada yang sama juga dilontarkan oleh Richelle Joyce Raymong, 12, dari Miri kerana selain daripada program dijalankan, beliau mempunyai ramai kawan satu kampus yang boleh dibawa berbincang mengenai topik-topik sains yang kompleks serta bersama-sama menjalani eksperimen dalam kelas.

Biasiswa Program Pertukaran Pelajar merupakan salah satu skim di bawah Yayasan Sarawak yang menaja para pelajar Sarawak memenuhi kriteria ditetapkan dan ditawarkan tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Sukan Semenanjung Malaysia serta Pusat PERMATApintar Negara.

Orang ramai boleh menghubungi Penolong Pengarah Seksyen Program & Bantuan, Hajijah Morsidi melalui talian 082-441686 atau menerusi e-mel [email protected] atau melalui Facebook rasmi Yayasan Sarawak untuk keterangan lanjut tentang skim Yayasan Sarawak.

Advertisement