Anda di sini

Perniagaan trak makanan, pasar malam bergerak agenda PAVB

Advertisement
 Peserta bergambar bersama Pandi (duduk, lima baris tengah), penceramah dan ahli jawatankuasa tertinggi PAVB.
DIBIMBING: Peserta bergambar bersama Pandi (duduk, lima baris tengah), penceramah dan ahli jawatankuasa tertinggi PAVB.

BINTULU: Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) merancang perniagaan trak makanan atau ‘food truck’, selain mahu mewujudkan pasar malam bergerak di bahagian ini.

Presiden Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) Pandi Suhaili berkata, mereka akan umumkan lokasi perniagaan setelah ahli terlibat mempunyai trak makanan untuk memulakan perniagaan tersebut, sekali gus membolehkan perancangan seterusnya dilaksanakan.

Perniagaan trak makanan ini boleh disertai semua lapisan masyarakat.

Konsepnya khusus untuk warga Bintulu yang berminat tanpa mengira agama, bangsa dan semuanya dialu-alukan menyertai perniagaan ini,” ujarnya pada sidang media sempena Taklimat Program Usahawan Bumiputera (Food Truck dan Lori Pasar Malam) anjuran PAVB dengan kerjasama Pusat Jaringan Usahawan Bumiputera (PJUB) Kuala Lumpur di Bilik Serba Guna Bangunan Martabat Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew semalam.

Turut hadir Naib Presiden PAVB Yusuff Ali, Setiausaha Agung PAVB Ismawi Ishak serta ahli jawatankuasa tertinggi PAVB.

Katanya, pihak persatuan turut berharap kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan membantu usahawan kecil mendapat kelulusan bagi menjalankan perniagaan ‘food truck’, kios dan lori pasar malam dalam usaha memajukan ekonomi setempat.

Dalam perkembangan lain katanya, taklimat yang diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan Bumiputera khususnya ahli PAVB mengenai peluang perniagaan ‘food truck’, kios dan lori pasar malam.

Ia juga bertujuan menghimpunkan usahawan di Bintulu dalam satu kumpulan di bawah bimbingan PAVB yang akan menyalurkan maklumat mengenai peluang bantuan kewangan dan pelesenan untuk ahli yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Ini adalah usaha berterusan persatuan untuk ahli serta masyarakat seluruhnya tanpa mengira kaum untuk meningkatkan sosioekonomi.

Melalui jaringan usahawan ini, mereka akan dilatih dengan asas perniagaan dan perakaunan serta diberi motivasi melalui program yang akan dianjurkan bersama PJUB,” tambahnya.

Beliau berkata, program berkenaan menyenaraikan beberapa modul yang berpusat di Bintulu serta akan dikendalikan Akademi Pembangunan Usahawan Global Kuala Lumpur dan Unit Pembangunan Ekonomi PAVB.

Program tersebut ternyata mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan mencecah 100 orang berbanding sasaran sebelumnya hanya 50 orang.

Berikutan itu, kami akan meneruskan program se-perti ini untuk membuka lebih banyak peluang dan bagi yang telah hadir hari ini dan terus berminat kami akan membawa mereka mengikuti sesi khusus iaitu ‘Transformasi Minda Global’.

Fokus perniagaan ini adalah pelbagai, daripada lori pasar malam, ‘food truck’, perniagaan kafe, makanan segera sehingga kepada kios berupa gerai jualan burger, sate dan sebagainya,” katanya.

Justeru katanya, PJUB akan menerangkan cara memiliki ‘food truck’ dan yang penting peniaga terbabit dapat mengikuti kursus dan tunjuk ajar yang diberikan.

Di Bintulu, perniagaan ‘food truck’, lori pasar malam dan kios tertakluk di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Selaras peraturan itu katanya, BDA turut menyampaikan taklimat dan menerangkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi peniaga.

Sebagai sebuah persatuan, kami akan membantu ahli-ahli  mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan terbabit,” tegas Pandi.

Advertisement