Anda di sini

Kelebihan pendidikan Cina aset penting bagi Sarawak

Advertisement
 Uggah (duduk, tengah) bersama tetamu kehormat lain menyaksikan upacara menandatangani MoU sempena Majlis Ulang Tahun Ke-33 dan Kutipan Dana Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Cina Kuching, Samarahan dan Serian di Kuching, malam kelmarin.
TERMETERAI: Uggah (duduk, tengah) bersama tetamu kehormat lain menyaksikan upacara menandatangani MoU sempena Majlis Ulang Tahun Ke-33 dan Kutipan Dana Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Cina Kuching, Samarahan dan Serian di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Kerajaan negeri tidak akan memandang sebelah mata terhadap pendidikan Cina, sebaliknya melihat ia sebagai aset penting bagi Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, dalam era pendidikan dan digital yang pesat membangun sekarang, bahasa Cina sudah tidak asing lagi dan telah menjadi bahasa yang penting terutama dalam dunia perniagaan.

“Tidak menghairankan jika ramai ibu bapa Bumiputera menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina untuk belajar bahasa Cina, kerana ini akan menjadi kelebihan tambahan dalam diri anak-anak mereka pada masa depan untuk bersaing di alam pekerjaan kelak terutama dalam sektor perniagaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Ulang Tahun Ke-33  dan Kutipan Dana Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Cina Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam kelmarin.

Sehubungan itu, Abang Johari memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan dasar ke arah pendidikan Cina, termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC) seperti yang digariskan oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Menurutnya, ini kerana sekolah Cina merupakan antara perintis kepada pendidikan Sarawak, yang ditubuhkan sebelum Perang Dunia Kedua beberapa abad yang lalu.

“Kami akan terus memberi sokongan kewangan kepada sekolah-sekolah Cina untuk membantunya ketika memerlukan,” katanya.

Justeru sempena majlis itu, Abang Johari mengumumkan geran kerajaan negeri sebanyak RM500,000 kepada Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Cina Kuching, Samarahan dan Serian dan RM150,000 kepada SJK (C) Tondong.

Pada masa ini, terdapat 222 sekolah rendah Cina di Sarawak, di mana 71 daripadanya di Kuching, Samarahan dan Serian manakala populasi muridnya di seluruh negeri kira-kira 62,200 orang (setakat Mac 2017) dengan suku daripadanya atau 19,400 orang adalah murid Bumiputera.

Sementara itu, Presiden  Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Cina Kuching, Samarahan dan Serian Liu Thian Leong menyifatkan sekolah Cina memperlihat keindahan perpaduan Sarawak, dengan kepelbagaian latar belakang pelajarnya.

“Pendidikan Cina menjadi keperluan bukan sahaja untuk orang Cina tetapi juga Bumiputera, dan bahasa Cina juga penting kerana China telah bangkit sebagai kuasa global yang baharu,” katanya.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan merumuskan dasar baharu untuk memberi bantuan kepada sekolah Cina.

Antara yang hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen dan ADUN Batu Lintang See Chee How.

  • oleh
  • Advertisement