Anda di sini

Miri FA mampu melahirkan jurulatih bola sepak bertauliah

Advertisement

MIRI: Persatuan Bola Sepak Miri mampu melahirkan jurulatih bola sepak bertauliah jika berani ‘melabur’ untuk menimba ilmu dari pasukanpasukan yang sudah berjaya.

 Ketua Jurulatih Skuad LBR Miri, Mohamad Hakimi Man berkata pasukan JDT juga telah menggunakan acuan dan corak taktikal Valencia FC dalam perlawanan mereka.

 “Pengarah Akademi JDT, Jovi Carrascosa telah membentangkan Program Pembangunan Akademi JDT dan ia suatu yang perlu dicontohi,” katanya selepas menghadiri Simposium Kejurulatihan Bola Sepak Belia Anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berakhir semalam.

 Menurut Hakimi, banyak perkara boleh dipelajari daripada perbentangan wakil JDT terutamanya struktur dan pelaksanaan program pembangunan.

 “Kita berterima kasih kepada fasilitator yang juga Pengurus Pembangunan JDT, Sukumaran selepas membentangkan Program Pembangunan Belia JDT.

 “Jika jurulatih tempatan diberi peluang seperti itu, kita percaya banyak pasukan bola sepak akan mampu bersaing lebih jauh dengan pengalaman jurulatih bertauliah,” jelasnya.

 Hakimi berkata, pihaknya juga akan menggunakan ilmu yang ada untuk memantapkan teknik kejurulatihan dalam pengurusan pasukan.

 Simposium dua hari (13 dan 14 Januari) itu bertujuan menambah ilmu pengetahuan dan mendalami input-input berkaitan kejurulatihan.

 Ia telah diadakan di Bilik Auditorium Liga Super dan Padang Bola Sepak Wisma FAM, Kelana Jaya, Kuala Lumpur.

Advertisement