Anda di sini

Pelancongan terjejas jika Uber dan Grab disekat

Advertisement

KUCHING: Sektor pelancongan Sarawak akan terjejas jika kerajaan menghentikan sepenuhnya operasi Uber dan Grab di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana sistem pengangkutan awam di Sarawak masih kekurangan.

Tambahan ujarnya, Uber dan Grab adalah trend baharu dalam sistem pengangkutan dunia yang seiring dengan perkembangan teknologi digital.

“Kalau operasi Uber dan Grab dihentikan, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada industri pelancongan negeri dengan keadaan perkhidmatan pengangkutan awam kita masih kurang baik.

“Pengusaha teksi tidak boleh mengarah kerajaan menghentikan operasi Uber dan Grab kerana seluruh dunia menggunakan perkhidmatan itu sekarang,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan lebih 200 pemandu teksi melakukan perhimpunan aman baru-baru ini bagi membantah operasi Uber dan Grab di Sarawak.

Menurutnya, perkhidmatan Uber dan Grab menjadi pilihan pelancong luar negara seperti dari Singapura, Hong Kong, United Kingdom malah Kuala Lumpur kerana mereka sudah biasa menggunakan perkhidmatan itu di tempat mereka.

“Inilah hakikat yang mesti diterima pengusaha teksi konvensional kerana ia disebabkan oleh pembangunan teknologi dan melibatkan kuasa pembeli pengguna, perkara-perkara yang susah untuk dikawal.

“Masalah ini tidak hanya berlaku ke atas pemandu atau pengusaha teksi di Sarawak tetapi seluruh dunia setiap kali berlaku perubahan dalam sistem,” ujarnya.

Justeru beliau berharap pemandu teksi konvensional perlu lebih prihatin dengan perubahan sistem dan industri.

Pemandu teksi juga katanya, harus melihat masalah dihadapi mereka ketika ini secara holistik dan sedia beralih kepada cara kerja baharu.

“Jika mereka (pemandu teksi) berasa agak berat untuk terus membawa teksi, mereka perlu melihat lebih jauh ruang lain untuk menambah lagi sumber ekonomi mereka termasuk membawa Uber atau Grab,” katanya.

Dalam masa sama, beliau percaya kerajaan akan melihat masalah dihadapi pemandu teksi dengan lebih terperinci seperti memberi kelonggaran atau mengurangkan kos operasi mereka.

Kerajaan juga katanya, memerlukan masa untuk mengawal selia operasi Uber dan Grab dengan lebih bersistematik kerana perlu melalui banyak proses.

“Uber dan Grab masa ini belum ada kawal selia teratur berbanding teksi, sebab itulah masalah ini timbul,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement