Anda di sini

Gagal hadir sebutan kes, tiga individu kena waran tangkap

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap ke atas tiga tertuduh yang gagal hadir untuk sebutan dua kes berasingan di sini, semalam.

Dalam kes pertama, dua sahabat Josephine Junit, 20, dari Sungai Melinau, Kapit dan Emy Sudin, 25, dari Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Pendakwaan tersebut membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 serta penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati menjalankan aktiviti loteri awam iaitu perjudian empat ekor tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada jam 3.30 petang, 2 November 2016 di sebuah kedai di Pusat Komersial Emart di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memberitahu, kes ditetapkan untuk sebutan semalam namun kedua-dua tertuduh gagal hadir di mahkamah.

Justeru beliau memohon agar waran tangkap dikeluarkan ke atas kedua-dua tertuduh terbabit.

Majistret Zuraini Ali Musa meluluskan permohonan itu dan memerintahkan waran tangkap terhadap kedua-dua tertuduh dikembalikan pada 31 Januari ini.

Dalam kes kedua, seorang lelaki yang menghadapi tuduhan memiliki harta curi telah dikeluarkan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret kerana gagal hadir untuk sebutan kes.

Mahkamah memerintahkan waran tangkap ke atas tertuduh dikembalikan pada 2 Februari depan.

Muhammad Nur Islam Salleh, 24, dari Kampung Pujut Tanjung Batu, di sini didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh dengan curang menerima atau memiliki harta curi iaitu satu kandang plastik (PVC) kepunyaan Azezan Wahet.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 7.10 pagi, 27 Oktober 2016 di sebuah rumah di Kampung Pujut Tanjung Batu 1A di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

  • oleh
  • Advertisement