Anda di sini

Pemergian Celestine kehilangan besar kepada masyarakat Dayak, PBB dan Sarawak

Advertisement

KUCHING: Pemergian bekas menteri Kabinet Sarawak Tan Sri Celestine Ujang Anak Jilan, 70, merupakan kehilangan yang besar kepada masyarakat Dayak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari menyifatkan beliau seorang pemimpin besar yang telah berjaya memainkan peranan serta menyumbang kepada kestabilan politik dan kerajaan negeri Sarawak.

“Saya berpeluang untuk bekerjasama dengan beliau dalam dalam parti (PBB) dan dalam kabinet negeri.

“Beliau bukan sahaja seorang pemimpin berwibawa besar tetapi beliau juga seorang rakan yang sangat baik.

“Saya juga pernah bekerja dengan beliau ketika beliau menjadi ketua pemuda PBB dan saya timbalan ketua pemuda.

“Saya banyak belajar daripada beliau dalam bidang politik dan PBB sangat beruntung mempunyai seorang pemimpin seperti beliau yang sangat komited dan berdedikasi,” kata Abang Johari kepada pemberita ketika memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya di Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya di sini hari ini.
 

Abang Johari ketika memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Celestine.
Abang Johari ketika memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Celestine.


Menurut Abang Johari, mendiang adalah seorang pemimpin yang tidak tamak kuasa kerana sanggup mengetepikan kepentingan peribadi termasuk melepaskan jawatannya dalam kabinet dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena demi keutuhan parti dan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda.

Pemimpin berketurunan Iban itu menyertai politik apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena pada tahun 1974 dan beliau bersara daripada politik pada tahun 2001.

Beliau pernah menyertai Kabinet Negeri Sarawak dan memegang beberapa portfolio termasuk sebagai Menteri Belia dan Sukan negeri, Menteri Pembangunan Tanah negeri, Menteri Perumahan Sarawak selain dilantik sebagai Speaker DUN.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas  berkata masyarakat Dayak kehilangan seorang pemimpin besar yang telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada pembangunan masyarakat Dayak dan negeri Sarawak.

“Sepanjang  tempoh perkhidmatannya, Ujang telah berjaya memainkan peranan yang cemerlang dalam PBB.

Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kuching di sini semalam akibat sakit tua. - BERNAMA

Advertisement