Anda di sini

Jualan semikonduktor global akan sederhana dalam 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan jualan semikonduktor global dijangka menjadi sederhana kepada tujuh peratus pada 2018 berikutan dinamik bekalan-permintaan untuk produk tersebut mula beransur stabil.

Alliance DBS Research yang memetik laporan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS), berkata jualan semikonduktor dunia telah merekodkan lonjakan luar biasa sebanyak 21 peratus pada 2017, selepas didorong oleh kenaikan kukuh dalam memori (60 peratus) dari tahun ke tahun di mana ASP adalah jauh lebih tinggi di belakang bekalan yang terhad.

Katanya, tidak termasuk memori, gabungan jualan bagi produk-produk semikonduktor lain telah meningkat sebanyak sembilan peratus pada 2017, mencerminkan kekuatan pasaran secara menyeluruh yang diterajui oleh pemulihan dalam ekonomi global.

Selepas  sektor itu mencatatkan prestasi yang mengagumkan  pada 2017, kami berpendapat ia akan menjadi ‘Neutral’ berikutan penilaian ke atasnya telah mencecah tahap tertinggi dengan meninggalkan ruang yang terhad bagi peningkatan seterusnya.

Walaupun terjejas sedikit baru-baru ini, saham-saham syarikat  semikonduktor Malaysia masih tinggi iaitu sehingga 53-105 peratus pada 2017, mencapai gandaan harga/perolehan (P/E), melebihi purata sejarah.

  “Kami percaya banyak asas-asas yang baik dan peluang-peluang dalam sektor ini sudah diberikan dalam penilaian semasa,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata bagi 2018, selain daripada memori, WSTS juga memberikan unjuran yang lebih positif kepada segmen sensor dan optoelektronik yang dijangka mencatatkan pertumbuhan, masing-masing sebanyak 7.2 peratus dan 8.2 peratus.

AllianceDBS dalam pandangannya mengenai syarikat-syarikat semikonduktor Malaysia, berkata bahagian frekuensi radio (RF) Inari Amertron Bhd, yang menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jualan, harus kekal di tempat teratas syarikat berkenaan, memandangkan percambahan peralatan RF dalam telefon pintar bagi menyokong kelajuan LTE 4G.

Ini dapat dilihat oleh pelanggan utamanya, Broadcom yang melaporkan bahawa akan ada peningkatan yang ketara dalam kandungan penapis resonan akustik (FBAR) pada 2018, didorong oleh penapisan tambahan pada antena. Kami berpendapat, ini merujuk kepada telefon pintar yang baharu (Apple iPhone).

Memandangkan masa depan yang cerah dalam segmen RF serta sumbangan daripada perniagaan baharu, kami amat positif dengan syarikat ini, dan kami menyarankan ‘Pegang’ pada harga sasaran sebanyak RM3,” kata firma penyelidikan itu.

AllianceDBS menambah bahawa selain Inari, ia juga memberikan saranan ‘Pegang’ kepada Unisem Bhd dan Malaysian Pacific Industries Bhd dengan sasaran harga, masing-masing sebanyak RM3.60 dan RM12.90, memandangkan penilaian untuk kedua-dua syarikat ini adalah baik dengan hasil dividen yang menarik, sama seperti pesaingnya di Taiwan. — Bernama

Advertisement