Anda di sini

EU perlu hentikan amalan antipersaingan terhadap minyak sawit: Pakar Perdagangan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya yang amalan haram, menipu dan antipersaingan dalam bentuk tuntutan dan label ‘Bebas Minyak Sawit’ atau ‘Tiada Minyak Sawit’ dihentikan dan pihak berkuasa Kesatuan Eropah (EU) dan EU perlu turut sama terlibat.

Selama bertahun-tahun, banyak perniagaan makanan dan peruncit di negara anggota EU tertentu telah menggunakan tuntutan dan label Tiada Minyak Sawit atau Bebas Minyak Sawit pada produk mereka, di samping kempen pemasaran berskala besar, kata pakar dalam Undang-Undang Perdagangan dan Makanan Antarabangsa, Paolo R. Vergano.

Katanya, tuntutan dan label ini boleh dikatakan menyalahi undang-undang, menipu dan antipersaingan, tetapi EU dan pihak berkuasa negara anggota EU tetap tidak bertindak.

Trend itu bermula di Perancis dan Belgium, tetapi baru-baru ini telah merebak ke negara anggota EU lain seperti Itali, Sepanyol dan Sweden.

Menurut beberapa laporan, terdapat kira-kira 1,500 produk dengan label Bebas Minyak Sawit atau Tiada Minyak Sawit di Perancis, Belgium dan Itali.

Baru-baru ini, rantaian pasar raya Perancis, Système U, telah memperhebatkan kempen pemasaran agresifnya berikutan keputusannya untuk menggantikan apa yang dipanggil ‘bahan kontroversial’, termasuk minyak sawit.

Di peringkat global, pada September 2017, Program Akreditasi Sijil Bebas Minyak Sawit Antarabangsa telah dilancarkan.

Australia dan United Kingdom merupakan dua negara pertama yang mengguna pakai tanda dagangan baharu ini dan dilaporkan 14 lagi negara telah memohon untuk tanda dagangan itu, katanya dalam satu tulisan yang bertajuk, “Ketidakgiatan EU Berkaitan tuntutan ‘Bebas Minyak Sawit’ dan Pendekatan EU kepada ’Standard Kelestarian Minyak Sawit,” pada Rabu.

Nampaknya isu ini akan menjadi semakin penting pada masa depan kerana secara sistematik ia merosakkan reputasi minyak sawit di hati dan minda pengguna,” kata Vergano, yang merupakan rakan kongsi firma guaman Eropah, FratiniVergano..

Oleh itu, sudah tiba masanya tindakan yang memudaratkan itu dihentikan sepenuhnya, katanya.

Ini boleh dilakukan melalui prosiding kehakiman di mahkamah negara EU atau melalui pentadbiran  pihak berkuasa negara EU yang bertanggungjawab terhadap undang-undang persaingan, memerangi penipuan terhadap pengguna atau iklan yang menipu.”

“Alat itu sudah wujud, tetapi keinginan untuk melaksanakannya oleh pihak berkuasa yang kompeten dan oleh pihak yang dimudaratkan oleh amalan komersial tersebut, malangnya  tidak ada,” tegasnya. — Bernama

Advertisement