Anda di sini

Warga emas ditemui mati lemas di Pantai Tanjung Batu

Advertisement
 Kakitangan Unit Ambulans Hospital Bintulu menjalankan pemeriksaan ke atas mayat mangsa sejurus ditemui.
PERIKSA: Kakitangan Unit Ambulans Hospital Bintulu menjalankan pemeriksaan ke atas mayat mangsa sejurus ditemui.

BINTULU: Pantai Tanjung Batu meragut nyawa lagi apabila seorang warga emas berumur 66 tahun ditemui mati lemas kira-kira 30 meter dari pantai berkenaan sekitar jam 8 malam kelmarin.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu berkata, pasukan bomba diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mustapha Wasli berserta tujuh anggota penyelamat bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu.

“Sejurus sampai di lokasi kejadian, pihak kita memulakan kerja mencari dan menyelamat dengan menggunakan tali penyelamatan dan jaket keselamatan sebelum menemui mangsa kira-kira 30 meter dari pantai,” ujarnya.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Ting Tung Sing berumur 66 tahun.

Sejurus berjaya menaikkan mayat mangsa ke darat, mangsa kemudiannya diserahkan kepada Unit Ambulans Hospital Bintulu untuk dihantar ke Unit Forensik bagi tujuan bedah siasat.

Pantai Tanjung Batu merupakan antara kawasan pantai popular di Bintulu, namun agak berbahaya bagi individu berenang atau mandi-manda terutama pada musim tengkujuh apabila keadaan laut bergelora.

Advertisement