Anda di sini

Dua direman lima hari kerana disyaki rompak warga emas

Advertisement

SIBU: Polis menahan reman seorang lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan di sebuah hotel bajet di sini.

Kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 35 tahun ditahan reman lima hari berkuat kuasa semalam.

Terdahulu, seorang lelaki warga emas tampil membuat laporan polis selepas mendakwa beliau dirompak di sebuah hotel di sini sekitar jam 9 pagi kelmarin.

Mangsa yang berusia 65 tahun memberitahu sebelum kejadian dia sedang melalui sebuah lorong menuju ke Pasar Sentral sebelum didatangi seorang wanita yang menawarkan khidmat mengurut.

Pada mulanya tawaran itu ditolak mangsa tetapi terpaksa beralah selepas dipaksa oleh suspek yang bertindak menariknya ke dalam salah sebuah bilik di tingkat dua hotel bajet berkenaan.

Semasa berada di dalam bilik hotel, mangsa didatangi seorang lagi suspek lelaki yang terus mengambil duit mangsa dari poket belakang seluarnya dan dompet sebelum menolaknya keluar dari bilik berkenaan.

Sementara itu, pihak polis yang bertindak atas laporan kemudian membawa mangsa mengunjungi semula tempat kejadian untuk melakukan pengecaman.

Selain berjaya menahan kedua-dua suspek, polis turut  merampas wang tunai sebanyak RM180.

Kes diklasifikasikan sebagai rompakan berkumpulan tanpa senjata dan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Advertisement