Anda di sini

Usul jawatan presiden, timbalan presiden PBB tidak dipertandingkan disokong

Advertisement

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Julaihi Narawi menyokong usul PBB Cawangan Stakan agar jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu kekal tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) PBB pada Februari tahun depan.

Julaihi berpendapat, usul itu penting bagi memastikan kekuatan PBB terus kekal menjadi tunjang utama dalam melaksanakan dasar yang berkesan untuk rakyat negeri ini.

Saya bersetuju dan menyokong 100 peratus usul ini, yang mana Ketua Menteri kita, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dikekalkan sebagai presiden PBB tanpa bertanding pada pemilihan parti akan datang.

Begitu juga, saya menyokong penuh agar Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah menang tanpa bertanding untuk jawatan timbalan presiden PBB,” katanya.

Julaihi yakin dan percaya dengan menyokong usul itu ia akan memastikan PBB terus mempunyai hieraki yang begitu kuat pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB N.17 Stakan di Pusat Konvensyen Penview di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud.

Dalam pada itu, Julaihi yang juga merupakan Menteri Muda Jalan Pesisir menyarankan agar semua ahli PBB terus mengukuhkan semangat bekerjasama dan persefahaman antara satu sama lain.

Ini penting untuk kita terus mengekalkan kekuatan PBB. Justeru, kita harus mempertahankan semangat ini sampai bila-bila.

Selagi kita saling hormat-menghormati dan mempunyai persefahaman yang kukuh, saya yakin PBB akan terus menjadi parti terkuat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Ali dalam ucapannya memaklumkan bahawa semua ahli PBB Cawangan Stakan akan mengemukakan usul menyokong penuh agar Abang Johari kekal sebagai presiden PBB pada penggal akan datang.

Malahan katanya, cawangan itu turut akan mengemukakan usul agar dua jawatan timbalan presiden PBB iatu Uggah dan Awang Tengah dikekalkan tanpa bertanding.

Advertisement