Anda di sini

Kuching ikat Miri 3-3

Advertisement
 Paul (kanan) berjaya melepaskan tendangan padu walaupun dicabar pertahanan Gedong Gators Kuching FC.
SENGIT: Paul (kanan) berjaya melepaskan tendangan padu walaupun dicabar pertahanan Gedong Gators Kuching FC.

Raih satu mata dalam ‘play off’ LBR 2017/2018 Zon Sarawak

KUCHING: Gedong Gators Kuching FC meraih satu mata berharga selepas berjaya mengikat Miri FA, 3-3 pada perlawanan ‘Play Off’ Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017/2018 Zon Sarawak yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.

 Turun selaku pasukan pilihan, Miri terlebih dahulu di depan menerusi jaringan penyerang prolifik mereka, Paul Sambang seawal minit ketujuh.

 Bagaimanapun, Gedong Gators berjaya bangkit dengan menyumbat dua gol menerusi Fiqkri Zulfikha Bohari pada minit ke-17 dan Mohd Azri Razali pada minit ke-20.

 Berselang babak kedua, pemain tengah Miri yang juga bekas pemain Sarawak, Ronald Dennis kembali meletakkan kedudukan seimbang selepas melakukan jaringan cantik pada minit ke-52.

 Jaguh dari utara Sarawak itu kembali di depan selepas Paul sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-75.

 Gideon Apoi Razali memusnahkan impian Miri untuk mengutip tiga mata penuh apabila meledak jaringan penyamaan pada minit ke-85.

 “Saya amat berpuas hati kerana kita berjaya mengutip satu mata berharga pada perlawanan menentang Miri, sebuah pasukan yang bagus.

 “Walaupun pada satu ketika kita ketinggalan 3-2, namun pemain menunjukkan mental dan fokus yang kuat untuk mencari gol penyamaan,” ujar Pengurus Pasukan Gedong Gators Kuching FC, Hamzah Brahim semalam.

 Sementara itu, nada kecewa diluahkan Ketua Jurulatih Miri, Mohd Hakimi Man selepas anak buahnya gagal meraih tiga mata penuh.

 “Saya sedikit kecewa dengan benteng pertahanan kita yang agak longgar hingga membolehkan lawan menjaringkan tiga gol,” komen beliau selepas perlawanan tamat.

 Gedong Gators Kuching FC akan meneruskan kempen ‘Play Off’ menentang Sibu di laman lawan pada 16 Disember ini.

  • oleh
  • Advertisement