Anda di sini

Isu Baitulmuqaddis, Trump langgar norma politik antarabangsa: Dr Abdul Rahman

Advertisement

KUCHING:Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel disifatkan amat bercanggah dengan norma politik antarabangsa.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik), Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pengisytiharan itu secara jelas melanggar kedaulatan negara Palestin.

Tegasnya, ia mesti dikecam dan dikutuk sekerasnya oleh semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Tindakan Donald Trump terang-terangan membangkitkan kemarahan penduduk dunia khususnya rakyat Palestin sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata tindakan Trump ternyata menunjukkan sikap ego dan angkuhnya kepada seluruh dunia.

Keegoan dan sikap keangkuhan Trump tanpa menghirau sensitiviti keagamaan yang ternyata tidak menghormati pandangan pemimpin-pemimpin lain di dunia,” katanya.

Bukan itu sahaja, Dr Abdul Rahman berkata tindakan Trump turut akan mengucar-kacirkan lagi keadaan di rantau Timur Tengah.

Saya amat sedih perkara ini berlaku dan amat bersimpati dengan rakyat negara Palestin diperlakukan sedemikian,” ujar beliau.

Pada Khamis lalu, Trump telah mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara rejim Israel baharu.

Berita itu sekali gus memberi tamparan hebat buat umat Islam di seluruh dunia.

Serentak dengan itu, presiden ke-45 Amerika Syarikat tersebut turut mengarahkan kedutaannya di Tel Aviv, Israel berpindah ke Baitulmuqaddis.

Advertisement