Anda di sini

Projek letak kereta HUS diharap ikut jadual

Advertisement

Pemaju diharap siapkan segera projek, masalah kekurangan parkir sudah lama berlaku

 Gambar menunjukkan pelan projek menaik taraf di HUS, Kuching, semalam.
PELAN PROJEK: Gambar menunjukkan pelan projek menaik taraf di HUS, Kuching, semalam.

KUCHING: Orang ramai menaruh harapan tinggi agar projek menaik taraf Hospital Umum Sarawak (HUS) termasuk projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat siap mengikut jadual.

Salah seorang ahli keluarga pesakit di HUS, Hasbi Mohd Zen berharap syarikat yang dilantik akan menyiapkan segera projek itu mengikut jadual memandangkan masalah kekurangan tempat letak kereta di sini, sudah lama berlaku.

Dengan keadaan trafik yang semakin sesak di HUS ini, ia menyukarkan lagi pergerakan orang ramai termasuk saya untuk melawat ahli keluarga yang dimasukkan ke wad HUS ini.

Justeru, saya amat berharap agar projek ini siap dalam tempoh yang ditetapkan bagi menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta dan pada masa sama memberi kemudahan selesa untuk orang ramai berkunjung ke sini,” katanya kepada media di sini.

Pandangan Hasbi itu turut disokong oleh seorang pekerja yang bekerja sebagai pengecat bangunan di HUS, Hip Jen.

Menurut Hip, setiap hari dia terpaksa datang awal ke HUS kerana khuathir sukar mendapat tempat untuk meletak kenderaan di sini.

Meskipun hari-hari datang awal, saya masih juga susah untuk mencari tempat letak kereta dan maka itu, saya terpaksa mengambil risiko meletak kenderaan di luar hospital, yang nyata kurang selamat dan mudah dikenakan saman oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Kata Hip, walaupun ada tempat letak kereta disediakan pihak swasta di luar kawasan HUS, namun ia dikenakan bayaran untuk setiap kenderaan.

Bayangkan dengan gaji saya yang tidak seberapa, manalah larat untuk saya membayar tempat letak kenderaan itu.

Bagaimanapun memandangkan projek itu kini giat dilaksanakan, saya rasa amat bersyukur dan pada masa sama, memohon agar projek ini berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pembantu pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan di HUS, Andrew Leong berkata, sejak lebih empat tahun bekerja di situ, dia dapati keadaan aliran trafik di hospital itu semakin sesak.

Ini berlaku disebabkan ada segelintir pelawat di sini meletak kenderaan mereka sesuka hati, seterusnya mengakibatkan kesesakan lalu lintas berlaku dalam kawasan HUS,” katanya.

Melihat keadaan ini, saya menaruh harapan tinggi agar projek menaik taraf HUS yang kini giat dilaksanakan dapat siap mengikut jadual agar dapat memberi manfaat besar untuk masyarakat negeri ini pada masa depan, tambahnya.

Dalam pada itu, Pengarah Projek Asaljuru Weida Sdn Bhd (AWSB) Jason Ng memaklumkan bahawa kerja-kerja awal projek menaik taraf HUS sudah pun bermula.

Dijangkakan projek menaik taraf HUS yang melibatkan pembinaan dua kompleks tempat letak kereta bertingkat, Jabatan Patologi, Pusat Jagaan Harian dan hotel bajet (Medi Hotel) serta kemudahan lapangan bagi pendaratan helikopter (helipad) akan siap dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Direka dengan kemudahan dan kapasiti yang lebih baik, Jason berkata bangunan dan kemudahan baharu yang dibina itu diyakini mampu mengurangkan kesesakan semasa.

Oleh itu, saya mohon agar rakyat negeri ini bersabar sepanjang kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan dalam kawasan terbabit,” ujarnya.

Untuk makluman, anggaran  kos projek tersebut kira-kira RM351 juta dan dimaklumkan bahawa pusat rawatan dan diagnosis harian akan menempatkan tujuh bilik pembedahan, perundingan dan pembedahan jagaan harian, bilik endoskopi serta pusat makmal bersepadu.

Selain itu, dua bangunan tempat letak kereta bertingkat dengan 1,700 parkir serta sebuah hotel dengan 160 bilik termasuk sebuah restoran dan sembilan kedai komersial turut dibina.

  • oleh
  • Advertisement