Anda di sini

Tukang masak ditahan bantu siasatan kes kematian seorang lelaki

Advertisement

SUNGAI PETANI: Seorang tukang masak berusia dalam ingkungan 20-an ditahan polis malam kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki ditemui mati yang dipercayai ditikam di belakang sebuah rumah di Lorong Fairuz 3, Taman Arked dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Saifi Abdul Hamid berkata lelaki terbabit yang bekerja sebagai tukang masak di Pulau Pinang itu ditahan pada jam 8.30 malam di sekitar sini dan akan direman selama tiga hari bermula semalam.

Beliau berkata suspek berkenaan juga merupakan pemilik kereta jenis Perodua Axia yang ditemui terbakar di kawasan berdekatan lokasi kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, dan motif sebenar kejadian yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 25 tahun kelmarin masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, mangsa yang beralamat di Nibong Tebal, Pulau Pinang itu ditemui mati dengan kesan tikaman pada bahagian dada dan cedera pada muka serta tangan yang dipercayai akibat pergelutan sebelum itu.

Polis menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu pada jam 3.07 petang kelmarin dengan memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian berkenaan. — Bernama

Advertisement