Anda di sini

Polis kenal pasti warga asing terbabit gengsterisme

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti warga asing yang disyaki menyertai beberapa kumpulan gengster yang aktif menjalankan aktiviti memeras ugut terutamanya terhadap peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata pihaknya akan melaksanakan operasi bagi menahan kesemua individu yang dikenal pasti dalam masa terdekat setelah memperolehi maklumat.

“Kami sedang melakukan risikan dan memerlukan kerjasama daripada peniaga dan orang awam untuk mengesan anggota kumpulan berkenaan bagi memastikan aktiviti gengsterisme yang mengganggu peniaga dapat dihentikan di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Pengawasan Komuniti Bersama Pengusaha Pasar Borong Kuala Lumpur di sini semalam.

Mazlan berkata pendatang asing di kawasan itu dipercayai menyertai kumpulan gengster yang telah  lama wujud di kawasan pasar borong itu.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi tempoh Januari sehingga 30 Nov tahun ini, sebanyak 60 kes jenayah  direkodkan di kawasan itu berbanding 131 kes tahun lepas.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy. — Bernama

Advertisement