Anda di sini

Lelaki ditahan, polis rampas dadah bernilai RM70,000

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Janggus, di sini dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM70,000 kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan polis di rumah sewanya kira-kira jam 4 petang kelmarin.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis merampas heroin seberat 1,122.32 gram dan syabu (15.9 gram) serta pelbagai peralatan untuk membungkus dadah antaranya alat penimbang dan mesin ‘sealer’.

“Berdasarkan siasatan lelaki itu menjadikan rumah yang disewanya sejak empat bulan lepas sebagai tempat untuk membungkus semula dadah yang diperoleh daripada sindiket pengedaran dadah sebelum menjual kepada pelanggannya,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata lelaki yang positif dadah itu turut mempunyai rekod jenayah dan dia kini direman lima hari untuk siasatan. — Bernama

Advertisement